PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dianggar meningkat kepada 4.8 peratus pada suku keempat 2024, berikutan pertumbuhan yang lebih kukuh 5.3 peratus pada suku tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM).
Bagi keseluruhan 2024, anggaran awal DOSM itu menunjukkan ekonomi negara berkembang 5.1 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus pada 2023.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan sektor luaran, disamping pelaburan strategik dalam bidang seperti tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur digital, termasuk pusat data.
“Usaha ini telah menarik pelaburan asing dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi.
“Selain itu, peningkatan ketibaan pelancong dan kenaikan gaji penjawat awam dijangka merancakkan aktiviti peruncitan dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah, seterusnya menyumbang secara positif terhadap momentum keseluruhan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan indikator terkini yang diterbitkan oleh DOSM, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 5.5 peratus pada Oktober sebelum menyederhana kepada 4.7 peratus pada November 2024.
Sementara itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian masing-masing berkembang 3.3 peratus dan 4.6 peratus pada Oktober dan November 2024.
“Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia kekal kukuh pada bulan November, dengan mencatat pertumbuhan 4.1 peratus bagi eksport dan 1.6 peratus bagi Import.
“Selain itu, pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini dipacu oleh sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.3 peratus berbanding suku sama tahun sebelum sebanyak 5.2 peratus.
“Ini diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi.
“Sementara itu, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan 4.3 peratus berbanding 5.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik,” katanya.
Beliau menambah, sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 19.6 peratus berbanding 19.9 peratus berikutan prestasi kukuh dalam semua segmen, terutamanya bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman.
“Bagaimanapun, sektor pertanian mencatatkan penurunan marginal -0.6 peratus berbanding peningkatan 3.9 peratus pada suku tahun ketiga 2024, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor kelapa sawit.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut -1.4 peratus berbanding -3.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan dalam subsektor minyak mentah dan kondensat,” katanya. – UTUSAN