PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada 4.5 peratus tahun ini, dengan peningkatan perbelanjaan domestik dan aktiviti pelaburan serta asas perdagangan luar yang lebih kukuh, menjadi petunjuk potensi ekonomi Malaysia.
Sementara itu, pertumbuhan keseluruhan 2024 diunjur pada kadar 5.1 peratus, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, pemulihan sektor luar, serta pelaburan strategik dalam tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur digital yang menjadi faktor utama dalam menggalakkan pembangunan mampan dan memastikan daya tahan ekonomi jangka panjang.
Menurut laporan terkini, Prospek Ekonomi Global Januari 2025 oleh Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi global akan stabil pada kadar sederhana 2.7 peratus bagi tempoh 2025 hingga 2026, manakala Emerging Markets and Developing Economies (EMDE) dijangka berkembang pada 4.0 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bagi suku tahun keempat 2024 pula ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.8 peratus, dipacu oleh prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan, walaupun terdapat penyusutan dalam sektor pertanian dan perlombongan.
“Selain itu, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia bertumbuh 3.6 peratus tahun ke tahun pada November 2024, meningkat daripada 2.0 peratus pada Oktober 2024.
“Sektor pembuatan menerajui pertumbuhan dengan kenaikan 4.6 peratus, manakala pengeluaran elektrik menokok 3.9 peratus. Secara bulanan, IPP meningkat secara marginal 0.5 peratus pada November 2024, selepas kenaikan 1.7 peratus pada Oktober.
“Mendorong momentum yang stabil, sektor pembuatan berkembang 4.5 peratus pada November 2024, dengan jualan mencapai RM161.9 bilion, meningkat daripada 3.0 peratus pada bulan sebelumnya.
“Lonjakan ini dipacu oleh kenaikan 12.3 peratus dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (berbanding 11.2 peratus pada oktober) dan peningkatan 7.1 peratus dalam peralatan elektrik dan elektronik (berbanding 3.2 peratus). Secara bulanan, jualan meningkat 0.3 peratus, daripada RM161.4 bilion pada Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan.
Melihat gambaran keseluruhan sektor perkhidmatan, perdagangan borong dan runcit mencatatkan jualan RM149.3 bilion pada November 2024, beliau berkata, ini menunjukkan peningkatan 4.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Perdagangan runcit merupakan penyumbang utama dengan pertumbuhan 5.8 peratus kepada RM64.8 bilion, diikuti oleh perdagangan borong dengan RM66.2 bilion (naik 4.7 peratus) dan kenderaan motor dengan RM18.3 bilion (naik 1.4 peratus).
“Bagaimanapun, jualan bulanan merosot 0.5 peratus, dengan semua subsektor merekodkan penurunan.
“Dari perspektif harga pula, kadar inflasi Malaysia mereda kepada 1.7 peratus pada Disember 2024, dipengaruhi pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kumpulan utama seperti penjagaan diri, perlindungan sosial dan, pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus).
“Meskipun begitu, kadar inflasi tahunan pada 2024 merekodkan 1.8 peratus, menandakan penurunan inflasi dua tahun berturut-turut sejak 2022 disumbangkan oleh kecenderungan perkhidmatan restoran dan penginapan yang lebih perlahan (3.1 peratus),” katanya.
Beralih kepada prestasi perdagangan luar Malaysia, Mohd. Uzir berkata, prestasi perdagangan negara mengakhiri 2024 dengan pertumbuhan dua digit yang memberangsangkan sebanyak 14.6 peratus kepada RM257.9 bilion.
“Eksport meningkat 16.9 peratus kepada RM138.5 bilion dan import meningkat 11.9 peratus kepada RM119.3 bilion.
“Pada asas bulanan, eksport, import, jumlah perdagangan dan lebihan perdagangan masing- masing mencatat pertumbuhan positif sebanyak 9.7 peratus, 7.3 peratus, 8.5 peratus dan 27.4 peratus,” katanya.
Beliau berkata, pasaran buruh Malaysia berkembang 1.7 peratus, mencapai 17.29 juta orang pada November 2024, manakala Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) meningkat kepada 70.5 peratus, berbanding 70.1 peratus pada tahun lalu.
“Jumlah penduduk bekerja meningkat 1.9 peratus kepada 16.75 juta orang, dan kadar pengangguran kekal pada kepada 3.2 peratus seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya. D
“Dari segi bulanan, tenaga buruh meningkat 0.1 peratus, bertambah 24,900 orang, manakala penduduk bekerja bertumbuh 0.2 peratus, dengan pertambahan 29,500 pekerja.
“Prestasi pasaran buruh yang kukuh ini menggambarkan pertumbuhan positif pada November 2024” katanya. – UTUSAN