PETALING JAYA: DELUX Holdings (M) Sdn. Bhd. (DELUX) mengadakan kolaborasi dengan seniman kontemporari tempatan, Profesor Zulkifli Yusoff untuk mengangkat seni tanah air di samping menggabungkan kehalusan seni kreatif dengan teknologi industri pembuatan.
Langkah inovatif itu mampu menjadi penanda aras dalam meningkatkan daya pemikiran dan persaingan dalam kalangan industri pembuatan pintu automatik (autogate) dan pintu sekuriti.
Menurut DELUX, kerjasama melalui pameran Secret Garden bermula apabila DELUX mengetengahkan ciptaan edisi terhad siri reka bentuk pintu automatik tanpa trek dan pintu keselamatan yang diilhamkan oleh Zulkifli.
Jelasnya, inisiatif itu sejajar dengan slogan jenama DELUX, “The One and No Substitute” di mana melalui Kerjasama ini, DELUX berhasrat memberi nafas baharu kepada industri pembuatan pintu automatik tanpa trek dan pintu sekuriti sebagai syarikat pertama yang bekerjasama dengan seniman kontemporari tanah air.
“Siri edisi terhad bertajuk “My Home, My Heaven,” menampilkan 6 pintu automatik tanpa trek dan pintu sekuriti dengan reka bentuk unik dan ekslusif. Di samping itu, demi mengukuhkan lagi kerjasama, DELUX telah menjemput Zulkifli untuk menghasilkan koleksi Secret Garden
yang unik terdiri daripada 8 buah karya agung di atas permukaan aluminium powder-coated.
“Karya-karya Secret Garden menawarkan pendekatan inovatif dan moden kerana bukannya pada permukaan kanvas,” katanya dalam kenyataan.
DELUX berkata, siri Secret Garden oleh Zulkifli diinspirasikan daripada kehidupan serta kesedihan dan penyembuhan, `menyemai’ naratif kehilangan, keimanan, dan ketabahan. Setiap karya beliau mampu mengubah kesedihan menjadi harapan.
Sebagai lanjutan kepada siri karya seni beliau sebelum ini yang fokus dalam tipografi, siri Secret Garden berhasrat untuk menunaikan `zikir’ terhadap orang kesayangan yang telah meninggal dunia menerusi perbuatan beramal khususnya berbuat baik terhadap flora dan fauna yang ada di taman halaman rumah sebagai hadiah kepada jiwa tersayang, katanya.
Koleksi My Home, My Heaven pula seiring dengan ungkapan Rumahku Syurgaku, diilhamkan oleh elemen tempatan dan alam semulajadi yang mana setiap elemen mempunyai susunan gubahan artistik tersendiri, menyerlahkan nilai estetik dan falsafah di sebalik reka bentuk pintu pagar dan pintu sekuriti.
“Ia termasuk gelombang bulat yang memberi penghormatan kepada hubungan kemanusiaan-ketuhanan, manakala bintang berbucu 12 melambangkan peredaran masa, bunga berdaun lapan pula sinonim dengan tema kemakmuran dan keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif DELUX, Datuk Dylan Chui berkata, Syarikat telah berkecimpung dalam industri selama 21 tahun dan berbesar hati berkolaborasi dengan Zulkifli buat kali pertama.
“Semangat berterusan kami dalam mengetengahkan inovasi serta mengekalkan keaslian jenama tidak pernah berhenti. Pada waktu yang sama, projek Secret Garden membuktikan bahawa ia boleh menjadi lebih daripada sekadar pintu automatik atau pintu sekuriti, ia mampu menjadi sebuah karya seni yang unit.
“Pameran kolaborasi Secret Garden dengan Zulkifli ini memakan masa selama dua tahun dan kami sangat berbangga ia akhirnya dijayakan,” katanya.
Pameran Secret Garden telah dibuka secara rasmi hari ini oleh Farouk Khan, pengumpul seni terkemuka dan pengasas bersama AFK Collection, Farouk Khan bersama Dylan Chui dan Zulkifli Yusoff di Ballroom DELUX Flagship Store di Puchong. Ia berlangsung sehingga 12 Februari dan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang. Masuk adalah percuma.
Pameran itu akan ditutup sempena Tahun Baharu Cina dari 25 Januari hingga 2 Februari. Untuk maklumat lanjut, layari www.mydelux.com.my dan ikuti @deluxmalaysia di TikTok, Instagram dan Facebook. – UTUSAN