Bursa Malaysia dijangka raih keuntungan lebih tinggi tahun ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia dijangka raih keuntungan lebih tinggi tahun ini

BURSA Malaysia dijangka meneruskan momentum positif pada tahun ini selepas mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dijangka mencatatkan keuntungan lebih tinggi tahun ini, didorong prestasi kukuh dalam pasaran sekuriti, derivatif dan perniagaan data, selain prestasi yang baik pada tahun lepas.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, momentum positif berterusan pasaran saham tempatan itu juga didorong beberapa faktor, terutamanya jangkaan lebih banyak penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia tahun ini iaitu 60 syarikat berbanding 55 syarikat tahun lepas.

“Selain itu, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) juga menunjukkan peningkatan 12.9 peratus tahun lepas membuktikan bahawa keyakinan pelabur telah pulih untuk kembali melabur sekuriti di Bursa Malaysia tahun ini.

“Hasil dagangan pasaran sekuriti turut meningkat termasuk sektor lain seperti derivatif, pasaran Islam dan segmen perniagaan data,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Bursa Malaysia melaporkan keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti (PATAMI) berjumlah RM310.1 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, melonjak 22.9 peratus daripada RM252.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut didorong prestasi kukuh dalam pasaran sekuriti dan derivatif serta perniagaan data, yang menyumbang kepada pertumbuhan 27.8 peratus dalam hasil operasi kepada RM757.7 juta, berbanding RM592.8 juta pada 2023.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, peningkatan kewangan Bursa Malaysia pada tahun lalu berbanding 2023 menunjukkan ia mampu mencatatkan prestasi yang baik pada 2025.

“Prestasi baik yang dicatatkan ini tetap berlaku walaupun pasaran saham secara keseluruhannya tidak menunjukkan lonjakan atau prestasi yang sangat memberangsangkan.

“Fakta ini membuktikan bahawa Bursa Malaysia sebagai sebuah syarikat mempunyai potensi yang kukuh dalam apa jua keadaan pasaran, sama ada pasaran sedang meningkat atau tidak stabil dan menurun kerana keuntungan mereka bergantung kepada hasil urus niaga jual beli saham,” katanya.

Menurut Barjoyai, Bursa Malaysia mampu mencatatkan prestasi yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lalu, namun ia bergantung kepada jumlah aktiviti jual beli saham di pasaran.

“Hal ini kerana Bursa Malaysia tetap memperoleh keuntungan daripada transaksi yang berlaku, tidak kira sama ada pelabur menjual ketika pasaran menurun atau membeli ketika pasaran meningkat.

“Jumlah transaksi ini sentiasa ada kerana akan sentiasa ada pihak yang membeli dan menjual saham. Jadi, apabila jumlah keseluruhan urus niaga meningkat, prestasi Bursa Malaysia juga akan menjadi lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya