PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertama bagi 2025 hari ini, didorong oleh kadar inflasi yang boleh diurus dan prospek pertumbuhan ekonomi yang stabil.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, analisis semasa mencadangkan bahawa BNM akan terus mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang tahun ini.
“OPR adalah alat kritikal yang digunakan oleh BNM untuk mengurus dasar kewangan negara. Ia mempengaruhi kos pinjaman, perbelanjaan pengguna dan keseluruhan aktiviti ekonomi.
“Kebanyakan petunjuk ekonomi semasa meramalkan OPR kekal stabil pada 3.0 peratus sepanjang 2025.
“Sekiranya terdapat perubahan ketara dalam keadaan ekonomi seperti tekanan inflasi, ia dapat diserap melalui langkah rasionalisasi subsidi yang dijangka pada pertengahan 2025,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Namun, beliau berkata, jelas bahawa BNM sentiasa memantau dengan teliti bagi mengekalkan inflasi sentiasa dalam julat sasaran untuk mengekalkan kestabilan harga.
Katanya, inflasi yang terurus mengurangkan keperluan untuk pelarasan kadar OPR, selain faktor pertumbuhan ekonomi yang teguh turut menyokong pengekalan OPR semasa kerana ia mencerminkan prestasi ekonomi tanpa memerlukan perubahan dasar kewangan.
Menurutnya, kestabilan mata wang dan kekuatan ringgit berbanding mata wang lain terutama dolar Amerika Syarikat (AS) boleh mempengaruhi imbangan perdagangan yang secara terus menjejaskan keputusan OPR.
“Namun begitu sebarang potensi pelarasan jika dianggap perlu oleh BNM, lazimnya dibuat dalam kenaikan 25 mata asas (0.25 peratus).
“Amalan standard ini membolehkan BNM bertindak balas dengan sebarang kejutan yang mampu diurus mengikut perubahan ekonomi semasa,” ujarnya.
Tambahnya, faktor luaran seperti kestabilan ekonomi global dan ketegangan geopolitik boleh memberi kesan kepada keputusan dasar BNM dan persekitaran ekonomi Malaysia.
Kali terakhir OPR berubah adalah apabila dinaikkan daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei 2023. – UTUSAN