Battersea Power Station capai pertumbuhan jualan dua digit - Utusan Malaysia

Battersea Power Station capai pertumbuhan jualan dua digit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit di Battersea Power Station menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 13.4 peratus pada November dan Disember 2024 berbanding tempoh dagangan perayaan yang sama pada 2023, kata Battersea Power Station Development Company (BPSDC).

Pertumbuhan tersebut melibatkan jualan fesyen meningkat sebanyak 11.7 peratus, barang kemas dan aksesori sebanyak 13.3 peratus dan kecantikan sebanyak 11.2 peratus.

BPSDC berkata, menjelang akhir 2024, Battersea Power Station telah mengalu-alukan lebih 26 juta pelawat sejak pembukaan awamnya pada Oktober 2022, dengan peningkatan jumlah pelawat sebanyak 11 peratus tahun ke tahun pada November dan Disember 2024.

Lawatan daripada Raja Britain, Raja Charles III pada 12 Disember 2024 diikuti dengan minggu tersibuk di Battersea Power Station untuk jualan dari 16 hingga 22 Disember, menunjukkan bagaimana mercu tanda itu telah menjadi destinasi membeli-belah perayaan yang popular.

Ketua Pajakan dan Pengurusan Aset BPSDC, Sam Cotton berkata, tempoh dagangan Krismas yang sangat kukuh pada penghujung tahun lalu menggariskan kedudukan Battersea Power Station yang semakin mantap sebagai satu daripada destinasi membeli-belah dan percutian yang mesti dikunjungi di London.

Katanya, pihaknya telah bekerja keras untuk mencipta gabungan jenama, tawaran makanan dan minuman serta pengaktifan yang menarik minat semua orang dan ini dicerminkan dalam pertumbuhan dua digit dalam kedua-dua jumlah jualan dan pelawat semasa tempoh perayaan 2024.

“Melihat ke 2025, kami mempunyai barisan pembukaan dan acara baharu yang menarik seperti Pesta Cahaya kami yang akan dilancarkan tidak lama lagi, kembalinya celebrASIA dan pengaktifan budaya selanjutnya untuk meraikan Wandsworth sebagai London Borough of Culture tahun ini.

“Pada masa yang sama, kami akan terus melihat ke hadapan dan merancang untuk pembangunan fasa masa depan projek penjanaan semula yang hebat ini, dengan separuh daripada tapak seluas 16.99 hektar masih dibangunkan.

“Battersea Power Station akan terus menawarkan gabungan unik budaya, semangat kemasyarakatan dan pengalaman membeli-belah dan masa lapang bertaraf dunia, yang akan menarik pengunjung dari London dan dari lebih jauh,” katanya dalam kenyataan.

Dimiliki oleh konsortium syarikat Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby Property, S P Setia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Battersea Power Station ialah kawasan kejiranan baharu di tepi sungai seluas 16.99 hektar di tengah kota London. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya