PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperkukuh komitmennya terhadap kemampanan dan pembiayaan bertanggungjawab dengan menandatangani perjanjian pembiayaan projek bernilai RM105.2 juta dengan Solar Voltech Sdn. Bhd. (SVSB) di Pulau Pinang.
Kerjasama itu menzahirkan komitmen Bank Islam sebagai pemacu agenda tenaga mampan Malaysia, khususnya di Penang, sekali gus mengukuhkan sokongannya terhadap projek tenaga boleh diperbaharui (TBB) sejajar dengan matlamat alam sekitar global.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pembiayaan itu selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan mencerminkan usaha kolektif kumpulan sebagai pemangkin merealisasikan aspirasi Malaysia mencapai karbon sifar bersih menjelang 2025.
“Pembiayaan ini turut membantu Bank Islam mengembangkan portfolio pembiayaan mampan kami yang telah berkembang kepada RM4.96 bilion setakat Oktober 2024.
“Ini menjadikan jumlah pembiayaan yang diluluskan untuk sektor tenaga boleh diperbaharui mencapai 58.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan hijau setakat Oktober 2024.
“Sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh Syariah, kami komited memajukan ekonomi hijau Malaysia sambil mencipta nilai yang berkekalan untuk perniagaan, komuniti dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.
Projek hijau oleh SVSB menyepadukan pelbagai teknologi tenaga bersih yang canggih, termasuk sistem fotovoltaik solar, fotovoltaik bersepadu bangunan, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik dan audit tenaga yang komprehensif.
Inisiatif itu mengurangkan impak alam sekitar dan mempercepatkan penggunaan teknologi hijau yang inovatif, serta mewujudkan masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Pengarah SVSB, Datuk Mohammad Azhar Hamdan berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan Bank Islam dalam projek kritikal itu.
“Kerjasama ini merupakan bukti usaha kami untuk memajukan agenda TBB Malaysia, di samping menangani ancaman perubahan iklim yang semakin mencabar.
“Dengan mengintegrasikan penyelesaian tenaga bersih yang canggih, kami berhasrat menetapkan penanda aras untuk inisiatif tenaga mampan di negara ini,” katanya. – UTUSAN