PETALING JAYA: Trafik penumpang udara bagi 10 bulan pertama tahun ini telah mencapai 80.3 juta, meletakkan Malaysia di landasan untuk mencapai ramalan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebanyak 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang sepanjang tahun.
Suruhanjaya itu berkata, Malaysia merekodkan sebanyak 8.0 juta penumpang udara pada Oktober lalu, meningkat 13.0 peratus tahun-ke-tahun berbanding Oktober 2023.
Walau bagaimanapun, MAVCOM berkata, angka ini mencatatkan penurunan sederhana sebanyak 2.7 peratus bulan ke bulan berbanding 8.2 juta penumpang udara pada September 2024.
“Trafik penumpang pada Oktober mencapai 89.7 peratus daripada tahap yang dicatatkan pada Oktober 2019, mencerminkan pemulihan berterusan dalam perjalanan antarabangsa dan domestik selepas pandemik.
“Trafik udara antarabangsa kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan pada Oktober 2024, dengan 4.2 juta penumpang direkodkan. Ini mewakili peningkatan kukuh sebanyak 20.5 peratus tahun ke tahun, bersamaan dengan 95.3 peratus daripada tahap Oktober 2019,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pemulihan berterusan sektor penerbangan Malaysia terbukti melalui pertumbuhan tahun ke tahun yang kukuh bagi Oktober, mengekalkan momentum positif yang dicapai pada September.
Katanya, keyakinan yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan global, disokong oleh inisiatif kerajaan seperti pengecualian visa buat pelancong dari China (berkuat kuasa sehingga 2025) dan India serta pengenalan laluan antarabangsa baharu.
“Peningkatan berterusan dalam volum kargo udara juga menonjolkan daya tahan sektor logistik Malaysia di tengah-tengah gangguan global.
“MAVCOM akan terus menyokong trajektori pertumbuhan ini melalui pengawalseliaan dan inisiatif dasar yang strategik, bagi memastikan pembangunan industri penerbangan yang mampan dan berdaya tahan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Suruhanjaya memberitahu, trafik antarabangsa bukan ASEAN mencatatkan prestasi cemerlang dengan peningkatan 25.6 peratus tahun ke tahun.
“Laluan ASEAN juga menunjukkan pertumbuhan yang ketara dengan peningkatan sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun trafik penumpang.
“Bagi trafik penumpang udara domestik, Oktober 2024 mencatatkan 3.8 juta penumpang, mencerminkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 5.9 peratus, tetapi penurunan bulan ke bulan sebanyak 5.1 peratus,” jelasnya.
Tambahnya, pergerakan kargo udara pada suku ketiga 2024 mencatatkan pertumbuhan kukuh dengan jumlah trafik meningkat sebanyak 21.7 peratus tahun ke tahun kepada 277,954 tan metrik, didorong terutamanya oleh peningkatan 26.6 peratus tahun ke tahun dalam kargo antarabangsa. – UTUSAN