Tinggal kerjaya, demi bangunkan pendidikan

Tinggal kerjaya, demi bangunkan pendidikan

PUSAT tuisyen ini mempunyai secara keseluruhan lebih 300 pelajar di tiga cawangannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEINGINAN mendalam untuk membantu lebih ramai orang mendorong usahawan, Hafizul Hazmir Hashim meninggalkan kerjaya lamanya dan membangunkan empayar pusat tuisyen, RHFocus Learning Center pada tahun 2018.

Menurut Hafizul, dia mengambil alih pusat tuisyen itu selepas pemilik asalnya menjual perniagaan tersebut. 

Dengan tekad yang tinggi, dia berusaha mengembangkan pusat pembelajaran itu ke tahap yang lebih baik.

“Saya mahu membuat sesuatu yang bukan sahaja memberikan kepuasan kepada diri sendiri, tetapi juga membantu orang lain.

“Melihat pelajar berubah daripada tidak faham kepada faham adalah satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan.

“Setelah mengambil alih perniagaan ini, saya mulakan dengan langkah kecil iaitu dengan hanya 20 orang pelajar sahaja di Bandar Seri Putra ketika itu,” katanya.

Tambah Hafizul, walaupun menghadapi cabaran tersendiri dalam menjalankan perniagaan, khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini pusat itu berjaya membuka sebayak tiga cawangan.

“Alhamdulillah, jumlah pelajar yang berdaftar dengan pusat tuisyen bagi keseluruhan cawangan telah melebihi 300 orang dengan cawangan utama memiliki hampir 200 orang.

“Cawangan di Bangi pula mempunyai sekitar 60 pelajar dan di Denai Alam yang baru dibuka tahun ini pula memiliki 50 orang pelajar.

“Walaupun menghadapi cabaran untuk menarik pelajar pada awalnya namun sambutan memberangsangkan daripada ibu bapa dan pelajar mendorong kami untuk terus beroperasi,” ujarnya.

Selain itu, katanya, satu daripada keistimewaan pusat pembelajaran itu berbanding yang lain adalah tidak hanya memfokuskan semata-mata pada pencapaian gred A.

“Kami menekankan perkembangan pelajar secara menyeluruh. Kelemahan mereka dikenal pasti dan ditangani dengan konsep pembelajaran yang santai tetapi berkesan.

“Malah, pusat ini juga mengamalkan pendekatan inklusif dengan menerima semua pelajar, seperti mengambil pelajar dengan mild autisme yang kebanyakan pusat lain tidak terima.

“Walaupun ada cabaran untuk mengajar mereka, kami tetap berusaha untuk membantu dengan pendekatan yang sesuai,” katanya.

Ingin tampil berbeza dengan pesaing yang lain, Hafizul berkata, pusat itu menggunakan kaedah kelas kecil pada hujung minggu untuk memberikan fokus yang lebih kepada pelajar.

Tambahnya, pusat itu menyediakan dua pakej yang merangkumi empat subjek untuk membantu pelajar mengukuhkan asas pembelajaran mereka.

“Semua pakej itu bermula sekitar RM300 sahaja sebulan dan RM100 untuk yuran bahan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya