Tarif elektrik kekal hingga Jun 2025, kerajaan biaya RM2.388 bilion - Utusan Malaysia

Tarif elektrik kekal hingga Jun 2025, kerajaan biaya RM2.388 bilion

Kerajaan bersetuju supaya kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju supaya kadar rebat dan surcaj terhadap tarif elektrik berdasarkan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung dikekalkan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2025.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, oleh yang demikian, keputusan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bagi tempoh tersebut menunjukkan bahawa kerajaan adalah komited untuk menjamin kesejahteraan rakyat dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar.

“Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 yang akan dibiayai oleh kerajaan pada kali ini adalah sebanyak RM2.388 bilion.

“Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar adalah merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya mengurangkan komitmen subsidi Kerajaan agar peruntukan tersebut dapat disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan.

Seterusnya, kerajaan pada 13 Disember 2024 turut bersetuju dengan penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kerangka Incentive Based Regulation (IBR) untuk tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027.

“Sehubungan perkara ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST) sedang memuktamadkan cadangan jadual tarif baharu yang mencerminkan kos pembekalan elektrik sebenar dan lebih kompetitif di samping mengekalkan keseimbangan trilema tenaga (security, sustainability and affordability) dan jadual tarif baharu ini dicadang untuk dilaksanakan bermula pada 1 Julai 2025 dengan melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM3,570 juta yang akan dibiayai oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, Petra berkata, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

“Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

“Pengguna juga boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh Kerajaan di dalam bil elektrik bulanan masing-masing,” katanya.

Kerajaan berharap agar pengekalan tarif elektrik bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025 ini akan menjamin pemain-pemain industri supaya memastikan kestabilan harga barangan di meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya