MOTOSIKAL kategori dual purpose memang sering dikaitkan dengan saiz yang bagak, walaupun kapasiti enjin sebenar tidaklah sebesar mana.
Tengok sahaja KTNS 250 dan Benelli TRK 650 – semuanya diolah untuk mengajuk BMW GS dan cukup popular kerana harga yang mampu milik dan kualiti yang boleh diterima.
Dengan kotak pannier besi kiri dan kanan yang dipasang 365 hari setahun, pemilik-pemilik motosikal dual purpose akan ke hulu dan ke hilir tanpa peduli kerana mereka cukup berminat dengan gaya pengembara dunia itu.
Namun begitu, bagi yang serius meredah laluan tidak bertar, mereka ini lebih arif akan kekurangan jentera berat di laluan sukar sebegitu.
Untuk mereka, minggu ini penulis mahu mencadangkan satu pilihan yang praktikal – Suzuki V-Strom 250SX.
Dikira sebagai adik bongsu (di Malaysia) dalam keluarga V-Strom, varian 250SX ini menggunakan enjin silinder tunggal 249cc 4-injap SOHC sejukan minyak yang menghasilkan 26 hp dan 22.2Nm menerusi transmisi enam kelajuan.
Daya kilas maksimum itu dicapai pada kelajuan enjin 7,300 rpm dan dengan berat kasar 167 kilogram (kg), Suzuki V-Strom 250SX ini menjadi sebuah dual purpose yang lebih lincah dari lipas kudung di atas laluan kasar.
Penulis cukup seronok menunggang V-Strom mini ini berbanding dengan Kawasaki Versys 250 yang ternyata lebih mensasarkan penunggang overlander (perjalanan pengembaraan jauh).
Suzuki ini lebih ringan, lebih kompak dan lebih agresif, memudahkan penulis mengubah haluan ketika menunggang di lorong-lorong tikus di estet sawit dan lombong tinggal.
Berat bertumpu pada titik tengah kerangka V-Strom ini, menjadikan penunggang merasakan mudah untuk menukar haluan tanpa perlu memaksa.
Jarak antara roda yang pendek juga memberikan karakter lincah itu. Malah, di dalam bandar, Suzuki V-Strom 250SX ini semakin seronok ditunggang.
Ciri-ciri menarik termasuk lampu hadapan dan belakang LED, soket USB terbina, paparan meter digital, pelindung enjin dan tangan penunggang, pelana berasingan dan warna-warna terang dan modern.
Tangki petrol sebesar 12 liter memerlukan isian selepas 200 hingga 250 kilometer (km) dan roda-roda 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang) menggunakan tayar All-Terrain tanpa tiub.
Halaju maksimum pula dalam 140 ke 150 km/sejam (kmsj) seperti yang dicuba penulis, bermakna untuk lebuh raya, ia masih jauh dari boleh mencabar abang-abangnya.
Kelebihan utama motosikal ini sebenarnya menjadi kekurangan terbesarnya – saiznya kecil.
Ini menjadikan tunggangan berdua sedikit sempit (penulis yang berbadan sasa ini sukar untuk memuatkan penumpang langsung) dan ia juga tidak begitu sesuai dipasang dengan kotak pannier sisi.
Lebih sesuai Suzuki V-Strom 250SX ini ditunggang solo dan beg-beg lembut diikat di kiri dan kanan tubuhnya.
Bagi penunggang yang ada lebih banyak fokus off-road, Versys kali ini ialah yang paling sesuai dan harga RM17,800 dengan waranti dua tahun atau 20,000 km (mana terdahulu), ia tidak terlalu untuk membuatkan kita ‘segan’ untuk melasak dengannya.
Spesifikasi
Suzuki V-Strom 250SX
Enjin: 249cc silinder tunggal 4-injap SOHC sejukan minyak SOCS
Tenaga maksimum: 26hp @ 9,300rpm
Daya kilas maksimum: 22.2Nm @ 7,300rpm
Transmisi: Enam kelajuan manual
Harga: Bemula dari RM17,800 dengan dua tahun atau 20,000km, mana terdahulu-UTUSAN