PETALING JAYA: SME Corp. Malaysia, (SME Corp) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM17.6 juta kepada 3,759 Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dari Sarawak.
SME Corp berkata, sebanyak 250 usahawan Sarawak dengan geran bernilai RM3.5 juta atau 11 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 2,275 usahawan belia telah memanfaatkan bantuan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
“Program TUBE bertujuan menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan.
“PMKS Sarawak juga mendapat bantuan di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) yang meningkatkan daya saing PMKS melalui bantuan bersepadu meliputi khidmat nasihat, sokongan teknikal, latihan dan bantuan kewangan.
“Daripada 983 PMKS yang telah diluluskan bantuan kewangan berjumlah RM121.9 juta di bawah
BEEP 2.0, kira-kira empat adalah PMKS Sarawak iaitu sebanyak 39 PMKS yang telah diluluskan bantuan kewangan berjumlah RM6.2 juta,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, SME Corp. telah melaksanakan Program Pengukuhan Mikro Madani (Mikro Madani) yang dilancarkan pada tahun 2023.
“Sebanyak 408 perusahaan mikro Sarawak telah mendapat manfaat serta kelulusan berjumlah RM4.6 juta.
“Program Mikro Madani ini menyediakan bantuan kewangan kepada perusahaan mikro dalam bentuk geran dan pinjaman serta baucar untuk pendaftaran status PMKS melalui lima inisiatif utama iaitu Geran Perniagaan Mikro (GPM), Pembiayaan Perniagaan Mikro (Micro Biz Financing – MBF), Geran Perniagaan Belia Mikro@TUBE, BEEP Plus Sabah & Sarawak dan Baucar Status PMKS,” katanya.
Di samping itu, program lain yang turut mencatatkan penyertaan memberangsangkan daripada PMKS Sarawak adalah Program Business Accelerator (BAP) dengan kelulusan berjumlah RM3 juta.
“Program yang tidak melibatkan bantuan kewangan dan merekodkan penyertaan tertinggi termasuklah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) serta Program Penarafan & Akreditasi (SRA).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Datuk Nainy berkata, pihaknya mensasarkan lebih ramai PMKS dari Sarawak bakal menerima manfaat melalui program yang akan dilaksanakan pada tahun 2025 sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi Madani yang lebih saksama dan inklusif.
“Komitmen sasaran ini turut dinyatakan semasa Kunjungan Hormat SME Corp. Malaysia kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di Astana Negeri Sarawak pada 25 November lalu.
“Bagi mempermudah PMKS memohon bantuan yang ditawarkan, mereka boleh memanfaatkan permohonan secara dalam talian melalui Sistem Bersepadu Penarafan & Insentif PMKS (MyBPI) yang telah diperkenalkan tahun ini.
“Malah MyBPI ini telah diperakui berjaya memudahkan capaian kepada PMKS sehingga diiktiraf sebagai salah satu Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) semasa Program dua Tahun kerajaan Madani dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam baru-baru ini”, tambahnya. – UTUSAN