PETALING JAYA: Saham Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mencecah rekod tertinggi baharu pada sesi dagangan tengah hari selepas mengumumkan cadangan tarif elektrik baharu bagi Semenanjung Malaysia melalui Tempoh Kawal Selia 4 (RP4).
Harga saham itu menokok 82 sen kepada RM15 pada pukul 1.15 tengah hari daripada RM14.18 pada akhir dagangan semalam.
Menurut RHB Investment Bank, peningkatan dalam perbelanjaan modal yang diluluskan akan mempercepatkan pertumbuhan asas aset terkawal TNB manakala kemasukan perbelanjaan luar jangka dalam RP4 boleh memberikan peningkatan lagi kepada pendapatan.
“Secara keseluruhan, kami positif dengan pengumuman RP4 berikutan perbelanjaan modal yang lebih tinggi.
“Bagaimanapun, sementara menunggu pendedahan lanjut, kami masih tidak pasti sama ada syarikat akan layak mendapat jumlah pulangan bersih terkawal penuh berdasarkan jumlah belanjawan yang dibenarkan,” katanya.
TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin berkata, tarif asas disemak setiap tempoh kawal selia yang berlangsung selama tiga tahun dari 2025 hingga 2027 yang akan menyaksikan kenaikan 14 peratus dalam tarif asas.
Perbelanjaan modal (Capex) ditetapkan pada RM42.82 bilion, terdiri daripada asas RM20.78 bilion dan luar jangka RM16.3 bilion. Purata perbelanjaan modal yang diluluskan di bawah RP4 lebih dua kali ganda berbanding di bawah RP3 dan perbelanjaan mengurus yang dibenarkan sebanyak RM20.78 bilion meningkat 16 peratus daripada RP3.
Sementara itu, Apex Securities berkata, TNB tidak memberikan butiran mengenai perbelanjaan luar jangka, namun pihaknya percaya ia boleh memasukkan pelaburan seperti sistem penyimpanan tenaga bateri, bergantung kepada teknologi yang menjadi lebih berdaya maju secara komersial.
“Dalam senario terbaik di mana perbelanjaan modal termasuk kontingensi digunakan sepenuhnya, purata pulangan tahunan yang dibenarkan boleh meningkat lebih 10 peratus, bersamaan dengan pulangan tambahan RM500 juta setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, TA Securities berkata, syarikat penyelidikan secara umumnya positif pada RP4 berdasarkan butiran awal yang dikongsi oleh TNB memandangkan peningkatan dalam perbelanjaan modal yang dibenarkan RP4.
“Sementara itu, kadar pulangan yang dibenarkan yang mampan, menyokong pertumbuhan pendapatan terkawal syarikat,” tambahnya.
Saham TNB yang mempunyai hampir monopoli pengagihan elektrik negara, telah melonjak 48 peratus setakat tahun ini apabila pertumbuhan ekonomi yang kukuh meningkatkan permintaan untuk kuasa.
Selain itu, laporan berita mengenai pusat data yang haus kuasa yang semakin berkembang pesat juga telah meningkatkan sentimen pelabur.
Kebanyakan penganalisis masih yakin mengenai TNB dengan 16 cadangan ‘beli’, enam penarafan ‘tahan’, dan hanya satu panggilan ‘jual’.
Harga sasaran konsensus ialah RM16.18, menurut Bloomberg, membayangkan potensi pulangan hampir 9.0 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang. – UTUSAN