PETALING JAYA: Pusat data dan kecerdasan buatan (AI) akan terus memacu menjadi tema pelaburan dan pertumbuhan di negara ini pada 2025, kata Malacca Securities Sdn. Bhd.
Firma pembrokeran berkata, tema pusat data dan AI akan diteruskan kerana pelaburan daripada syarikat multinasional (MNC) baru sahaja bermula pada 2023 hingga 2024 dan akan menempah pendapatan menjelang 2025 dan seterusnya.
Katanya, dengan persekitaran politik yang stabil, lokasi geografi yang strategik dan dasar mesra perniagaan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) daripada MNC.
“Malaysia telah menjadi peneraju di Asia Tenggara dalam menarik FDI, dengan RM141.72 bilion diterima dalam 10 bulan pertama 2024, menurut Knight Frank.
“Kemasukan FDI ini dijangka meningkatkan aktiviti pembinaan, memanfaatkan sektor pembinaan, bahan binaan, utiliti dan hartanah,” katanya dalam nota penyelidikan.
Malacca Securities berkata, syarikat seperti Google, Nvidia dan Microsoft telah melabur di Malaysia, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat dalam potensi ekonomi negara.
Selain itu, katanya, Sidang Kemuncak KL20 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan meletakkan Malaysia sebagai pemain terkemuka dalam industri semikonduktor global, yang mungkin memberi manfaat kepada sektor teknologi, termasuk pemain perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).
“Kami percaya skop ekosistem pusat data akan melangkaui pembinaan, merangkumi AI, keselamatan dan perkhidmatan awan.
“Pengembangan ini akan mewujudkan peluang untuk syarikat berkaitan perisian yang pakar dalam keselamatan siber, penyedia perkhidmatan awan dan bidang berkaitan lain dalam sektor teknologi,” ujarnya.
Sementara itu, firma juga menjangkakan rangka tindakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) akan menyokong pertumbuhan negara.
“Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) daripada 40 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050, seperti yang digariskan dalam NETR.
“Ini dijangka membuka peluang pelaburan yang besar dalam sektor gas asli, TBB dan air.
“Sementara itu, NIMP 2030 dijangka mewujudkan peluang dalam kilang pintar dan semikonduktor, kenderaan elektrik (EV) dan industri kimia, yang memanfaatkan sektor pembuatan dan teknologi,” jelasnya. – UTUSAN