PETALING JAYA: Pasaran hartanah Malaysia pada 2025 dijangka terus menyaksikan permintaan hartanah kediaman stabil terutamanya rumah mampu milik.
AmInvestment berkata, pasaran hartanah kediaman tempatan dijangka mengekalkan momentumnya berikutan dasar kerajaan yang menggalakkan bagi menyokong segmen rumah mampu milik.
“Selain itu, ia turut didorong pelancaran semula program Malaysia Rumah Keduaku dan keadaan pasaran buruh yang positif,” katanya dalam nota penyelidikan.
Berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic), permintaan untuk hartanah kediaman adalah kukuh pada separuh pertama 2024 dengan jumlah bilangan dan nilai transaksi hartanah kediaman meningkat masing-masing sebanyak 6.1 peratus dan 10.4 peratus tahun ke tahun.
Menurut Napic, suku ketiga tahun kewangan 2024 menyaksikan sedikit peningkatan dalam kedua-dua volum dan nilai transaksi perumahan, dengan 70,520 unit direkodkan bernilai RM28.74 bilion berbanding RM28.36 bilion setahun lalu.
Secara keseluruhannya, prestasi pasaran hartanah bertambah baik dengan jumlah dan nilai transaksi meningkat masing-masing sebanyak 3.1 peratus dan 0.3 peratus.
Sementara itu, firma penyelidikan, Phillip Capital Research berkata, urus niaga hartanah pada separuh pertama 2024 menunjukkan aliran positif, dengan nilai dan volum masing-masing mencatatkan pertumbuhan 10 peratus dan 6 peratus tahun ke tahun.
“Segmen rumah mampu milik (di bawah RM300,000) kekal sebagai pemacu utama, menyumbang lebih daripada 53 peratus daripada jumlah urus niaga kediaman dan tanda-tanda pengurangan beransur-ansur di kawasan tidak terjual,” katanya.
Katanya, gaji minimum akan datang yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 mungkin akan meningkatkan lagi permintaan segmen itu.
Tambah Philip Capital, penjualan tanah perindustrian kepada pengendali pusat data memberikan satu lagi saluran pertumbuhan, apabila pemaju mengewangkan bank tanah dan melabur semula di tanah strategik.
Firma penyelidikan itu berkata, beberapa pemaju, termasuk Sime Darby Property Bhd., UEM Sunrise Bhd. dan Mah Sing Group Bhd. sedang meneroka pelaburan pusat data untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
“Indeks Hartanah KL (yang terdiri daripada saham tersenarai syarikat hartanah) telah meningkat 25.8 peratus, didorong oleh sentimen positif sekitar pengembangan pusat data, terutamanya di Johor.
‘Walau bagaimanapun, sementara pasaran menunjukkan tanda-tanda peningkatan dengan pengurangan lebihan bekalan, permintaan asas kekal lemah.
“Kami mengekalkan pendirian neutral kami terhadap sektor itu, menggunakan strategi memilih ceri yang memfokuskan pada segmen rumah mampu milik,”
katanya.
Justeru, Philip Capital lebih mengutamakan pemaju dengan pendedahan kepada hartanah industri dan segmen perumahan mampu milik. – UTUSAN