Pengeluaran minyak mentah, kondensat susut 8.9 peratus - Utusan Malaysia

Pengeluaran minyak mentah, kondensat susut 8.9 peratus

petronas
PENGELUARAN minyak susut pada suku ketiga. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluaran minyak mentah dan kondensat berjumlah 41.8 juta tong pada suku ketiga 2024, menyusut 8.9 peratus tahun ke tahun berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, penyusutan itu disebabkan oleh kemerosotan pengeluaran minyak mentah yang jatuh dua digit kepada negatif 14.2 peratus berbanding 0.1 peratus pada suku kedua.

“Walau bagaimanapun, kondensat kekal positif, meningkat daripada 4.2 peratus kepada 4.6 peratus pada suku ini.

“Pada masa yang sama, pengeluaran gas asli juga menyusut sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun berbanding 3.0 peratus pada suku sebelumnya dan menghasilkan jumlah pengeluaran sebanyak 659.3 bilion kaki padu berbanding 696.8 bilion kaki padu pada suku kedua.

“Harga Purata “Lifting” Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia pula turun kepada AS$82 (kira-kira RM366.56) per tong pada suku ketiga 2024 berbanding AS$86.9 (kira-kira RM388.46) per tong pada suku lepas.

“Begitu juga harga bagi WTI menunjukkan penurunan dengan mencatatkan AS$76.2 (kira-kira RM340.63) per tong berbanding AS$81.7 (kira-kira RM365.22) per tong pada suku kedua, manakala Brent pula sebanyak AS$79.8 (kira-kira RM329.90) per tong berbanding AS$84.6 (kira-kira RM378. 18) per tong pada suku kedua,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi perdagangan luar negara, beliau berkata, pada suku ketiga 2024, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat adalah sebanyak RM8.2 bilion, lebih rendah berbanding RM9.4 bilion pada suku sebelumnya.

“Thailand masih kekal sebagai destinasi utama bagi eksport petroleum mentah dan kondensat untuk tiga suku tahun berturut-turut dengan RM2.4 bilion atau 29.4 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Jepun (20.6 peratus) dan Australia (20.1 peratus).

“Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berkurang kepada RM27.9 bilion pada suku ini berbanding RM29.6 bilion pada suku sebelumnya.

“Singapura kekal sebagai negara destinasi utama eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM7.5 bilion atau 26.8 peratus, diikuti oleh Indonesia (20.8 peratus) dan Australia (18.7 peratus).

“Nilai eksport LNG turut mencatatkan pengurangan daripada RM13.0 bilion pada suku kedua 2024 kepada RM12.7 bilion pada suku ini dengan 45.4 peratus dieksport ke Jepun, diikuti oleh Republik Korea (23.4 peratus) dan China (22.4 peratus),” katanya.

Tambahnya, nilai import petroleum mentah dan kondensat menurun kepada RM14.2 bilion untuk suku ketiga 2024 berbanding dengan RM18.6 bilion yang direkodkan pada suku kedua 2024.

“Arab Saudi kekal menjadi negara asal utama bagi import petroleum mentah dan kondensat, berjumlah 34.6 peratus pada suku tahun ini, diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (20.9 peratus) dan Qatar (9.2 peratus).

“Sementara itu, nilai import bagi keluaran petroleum bertapis adalah RM28.7 bilion, lebih rendah daripada RM29.8 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya dengan Singapura sebagai penyumbang terbesar (34.0 peratus), diikuti oleh Republik Korea (12.8 peratus) dan China (9.4 peratus).

“Bagaimanapun, import bagi LNG mencatatkan peningkatan kepada RM2.8 bilion berbanding RM2. 2 bilion pada suku kedua.

“Australia kekal sebagai negara asal utama dengan nilai import tertinggi sebanyak RM1.9 bilion atau 66.6 peratus, diikuti oleh Amerika Syarikat (19.7 peratus) dan Papua New Guinea (6.3 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya