PETALING JAYA: Pendapatan e-dagang Malaysia mencatatkan RM918.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, menunjukkan pertumbuhan 4.0 peratus tahun ke tahun, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pendapatan e-dagang tertinggi dicapai pada suku kedua 2024 dengan nilai RM309.8 bilion.
“Namun, suku ketiga 2024 mencatatkan sedikit penurunan 0.6 peratus kepada RM307.9 berbanding suku kedua 2024.
“Meskipun demikian, e-dagang kekal sebagai tonggak penting dalam landskap ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Pada 15 Oktober 2024, DOSM telah menyiarkan penerbitan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ASTMK) 2023.
Jabatan Perangkaan berkata, pada 2023, sektor TMK dan e-dagang menjana nilai ditambah sebanyak RM427.7 bilion berbanding RM411.6 bilion pada tahun 2022, dengan pertumbuhan 3.9 peratus (2022: 14.3 peratus).
“Sumbangan TMK dan e-dagang kepada ekonomi negara meningkat kepada 23.5 peratus berbanding 22.9 peratus pada 2022.
“Prestasi ini didorong oleh Nilai Ditambah Kasar Industri TMK (NDTMK) sebanyak 13.8 peratus dan e-dagang industri lain sebanyak 9.6 peratus,” katanya.
Jabatan Perangkaan menjelaskan, NDKTMK sebanyak RM252.0 bilion mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.8 peratus berbanding 11.4 peratus pada tahun sebelumnya, disokong oleh perkhidmatan TMK yang menyumbang 41.6 peratus.
“Ini diikuti oleh pembuatan TMK, perdagangan TMK dan kandungan & media masing-masing menyumbang 38.2 peratus, 14.2 peratus dan 6.0 peratus,” katanya.
Pada 2023, Banci Ekonomi (BE2023) bagi tahun rujukan 2022 telah dilaksanakan yang meliputi semua pertubuhan perniagaan aktif merentasi semua sektor ekonomi.
“Sebanyak 78,236 pertubuhan terlibat dalam transaksi e-dagang, menjana pendapatan mencapai nilai RM1,126.9.
“Bagi pecahan pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran, hasil yang dijana daripada pasaran domestik mengatasi pasaran antarabangsa berjumlah RM1,003.5 bilion iaitu merangkumi 89.1 peratus sumbangan.
“Sebaliknya, sumbangan kepada pasaran antarabangsa berjumlah RM123.4 bilion, menyumbang 10.9 peratus,” katanya.
Selain itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui perniagaan ke perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM786.5 bilion dengan sumbangan 69.8 peratus, diikuti perniagaan ke pelanggan (B2C) RM312.6 bilion (27.7 peratus) dan perniagaan ke kerajaan (B2G) RM27.8 bilion (2.5 peratus).
Jelas Mohd. Uzir, laporan Ekonomi Digital Malaysia 2024 menekankan pertumbuhan berterusan dan kepentingan ekonomi digital yang dipacu oleh e-dagang dan sektor ICT.
“Penemuan ini menunjukkan peningkatan berterusan dalam sumbangan ICT kepada ekonomi negara, dengan pertumbuhan ketara dalam perkhidmatan ICT dan aktiviti e-dagang.
“Penggunaan ICT yang meluas dalam kalangan perniagaan dan isi rumah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap digital global, sekali gus menyerlahkan potensi negara untuk terus berinovasi dan berkembang dalam ekonomi digital,” katanya.-\