PETALING JAYA: Pelancongan domestik di Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2024, merekodkan 66.3 juta pelawat dengan peningkatan sebanyak 22.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagaimanapun, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik menurun 3.2 peratus berbanding suku kedua 2024.
Perbelanjaan pelancongan domestik turut menunjukkan pertumbuhan yang signifikan, mencatatkan RM25.6 bilion, meningkat 27.4 peratus tahun ke tahun.
Namun begitu, perbandingan dengan suku tahun kedua 2024 menunjukkan penurunan sebanyak 9.1 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sehingga September 2024, pelancongan domestik Malaysia telah merekodkan sejumlah 193.3 juta pelawat, menunjukkan peningkatan 21.8 peratus tahun ke tahun.
“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi sembilan bulan pertama 2024, telah mencapai RM77.8 bilion, menggambarkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 27.2 peratus tahun ke tahun.
“Prestasi berkaitan industri pelancongan pada suku ketiga 2024 adalah menggalakkan, di mana nilai jualan runcit bahan api meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun, diikuti trafik lebuh raya (+5.5 peratus), ketibaan di lapangan terbang domestik (+3.5 peratus) dan hasil zoo (+1.7 peratus).
“Dari segi sektor penginapan, jumlah hasil meningkat 12.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan ini disokong oleh kadar penghunian hotel lima bintang yang meningkat 1.1 peratus, diikuti oleh hotel empat bintang (+4.2 peratus) dan hotel tiga bintang (+0.2 peratus),” katanya.
Tambahnya, kadar penghunian mengikut lokasi di bandar meningkat 3.4 peratus, berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.-UTUSAN