Pasaran modal Malaysia antara terbaik di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Pasaran modal Malaysia antara terbaik di Asia Tenggara

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasaran modal Malaysia untuk sepanjang 2024 adalah antara yang paling berprestasi berbanding negara-negara jiran di Asia Tenggara, kata penganalisis ekonomi.

Sehingga Oktober 2024, jumlah pasaran bon dan sukuk Malaysia yang terkumpul bernilai RM2.09 trilion, manakala permodalan pasaran sekuriti yang disenaraikan di Bursa Malaysia berjumlah RM2 trilion, melepasi paras RM2 trilion buat kali pertama pada Mei.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pasaran modal Malaysia bergerak seiring dengan pasaran modal negara-negara membangun dan yang sedang membangun.

“Keupayaan itu juga kerana keterbukaan pasaran negara, ketelusan informasi, prestasi syarikat-syarikat awam yang tersenarai serta Ratings kewangan kerajaan yang stabil membantu kepada pasaran bon dan sukuk terbitan kerajaan menjadi tarikan pelabur luar.

“Justeru, ia turut menjadikan nilai ringgit mengukuh serta rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) yang terus bertambah berbanding setahun yang lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, prestasi ekonomi negara iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan turut menjadi daya penarik kepada para pelabur luar dan dalam negara.

“Ini juga dilihat kepada jangkaan awal KDNK oleh kerajaan bagi 2024 dinaikkan kepada 4.8 peratus hingga 5.3 peratus, setelah peningkatan KDNK yang memberangsangkan untuk tiga suku pertama, berbanding unjuran awal tahun sebelumnya yang berada pada kadar 4.5 peratus hingga 5.0 peratus.

“Selain itu, prestasi syarikat-syarikat Malaysia hampir di semua sektor, terutama kewangan, pembinaan, perladangan dan lain-lain juga terus meningkat melebihi tahun-tahun lalu dan melepasi angka sebelum 2020,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, usaha kerajaan untuk terus menarik pelaburan asing dijangka memberikan lonjakan ekonomi yang penting bagi 2025.

“Ini di mana semua pelaburan yang telah diluluskan hampir RM260 billion setakat ini akan mulai dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan secara intensif pada 2025.

“Kedudukan Malaysia yang kini dikenali sebagai penarik pelaburan pusat data dirantau sebelah sini akan juga terus menarik pemain-pemain lain dalam rangkaian nilai industri di peringkat global,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, pencapaian itu telah menunjukkan minat pelabur asing terhadap pelaburan di negara ini semakin besar.

“Pelabur-pelabur telah mula kembali ke pasaran modal Malaysia, khususnya dengan memberi tumpuan kepada bon, sukuk dan pelaburan berpendapatan tetap, memandangkan kadar faedah di Malaysia lebih stabil.

“Dari segi dasar kewangan, kadar faedah di Malaysia kekal stabil, dengan kadar asas (BLR) tidak berubah selama lebih dua tahun, mencerminkan polisi kerajaan yang konsisten.

“Kadar pertumbuhan ekonomi serta pertumbuhan sektor pengeluaran turut menunjukkan kestabilan, walaupun terdapat sektor tertentu seperti pembinaan yang agak perlahan.

“Namun, dijangka lebih daripada RM200 bilion dalam aktiviti pembinaan pada tahun hadapan akan berlaku. Ini berpotensi menarik ramai pelabur yang terlibat dalam sektor hartanah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya