Nur Julie Gwee Ariff CEO MIDF Amanah Investment Bank - Utusan Malaysia

Nur Julie Gwee Ariff CEO MIDF Amanah Investment Bank

Nur Julie Gwee Ariff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB mengumumkan pelantikan Datuk Seri Nur Julie Gwee Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi MIDF Amanah Investment Bank Berhad berkuat kuasa 1 Januari 2025.

MBSB berkata, Nur Julie merupakan seorang banker pelaburan yang berpengalaman dengan kepakaran luas dalam pasaran hutang dan kewangan korporat.

“Beliau menyertai MIDF Amanah Investment Bank pada tahun 2012 sebagai Pengarah dalam Penasihat Korporat dan Penstrukturan dan memegang jawatan sebagai Ketua Pasaran Hutang serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif sebelum dilantik sebagai CEO.

“Di bawah kepemimpinannya, MIDF Amanah Investment Bank telah menjadi peneraju dalam memberikan nasihat mengenai inisiatif dan transaksi pembiayaan lestari, yang diiktiraf secara meluas dalam industri serta meraih pelbagai penghargaan.

“Sebelum menyertai MIDF, Nur Julie telah memegang jawatan kanan di bank pelaburan lain dan berkhidmat di firma sekuriti lain, di mana beliau memberi nasihat mengenai pelbagai isu kewangan korporat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi MIDF Amanah Investment Bank, Datuk Mohd Nasir Ali, menyatakan, kepimpinan Nur Julie Gwee Ariff dan pengalaman luasnya dalam sektor kewangan akan membawa MIDF Amanah Investment Bank ke tahap yang lebih tinggi.

“Rekod kejayaannya yang terbukti telah memainkan peranan penting dalam kejayaan bank ini. Di bawah bimbingannya, bank ini berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang baru dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang ini,” katanya.

Ketua Perbankan Borong di Kumpulan MBSB, Kuldeep Singh turut berkongsi pandangan, pihaknya sangat gembira dengan pelantikan Nur Julie sebagai CEO baru MIDF Amanah Investment Bank.

“Kepakarannya dalam pasaran hutang, kewangan korporat, dan penasihat akan mengukuhkan kedudukan Bank ini dan membuka peluang pertumbuhan baharu.

“Di bawah kepemimpinannya, kami bertujuan untuk memanfaatkan sinergi di seluruh kumpulan MBSB untuk menyediakan penyelesaian bersepadu yang fokus kepada pelanggan,” katanya.

Dengan rangkaian perkhidmatan perbankan pelaburan yang kukuh termasuk tawaran hutang dan ekuiti, aktiviti perbendaharaan dan penyelidikan, MIDF Amanah Investment Bank bersedia untuk meningkatkan lagi kedudukannya di pasaran.

“Kami terus komited untuk memberikan nilai yang luar biasa dan memberi impak yang bermakna kepada pelanggan dan pemegang saham kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya