Northport meterai perjanjian pembelian kren dermaga baharu - Utusan Malaysia

Northport meterai perjanjian pembelian kren dermaga baharu

Fakhrul Azhar Tajudin (dua kiri) dan Zhu Xiaohuai (dua kanan) bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian membeli empat unit kren dermaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), menandatangani perjanjian bagi pembelian empat unit Super Post Panamax Container Handling Ship-To-Shore Gantry Crane (Kren Dermaga) daripada Shanghai Zhenhua Heavy Industries Co. Ltd. (ZPMC).

Menurut kenyataan, pemeteraian perjanjian tersebut mengukuhkan komitmen Northport dalam meningkatkan keupayaan pengendalian terminalnya untuk memberi perkhidmatan kepada kapal kontena yang lebih besar dan lebih canggih dengan cekap.

“Dua daripada kren dermaga baharu itu mempunyai kapasiti jangkauan 24-unit kontena, keupayaan angkat berkembar (twin-lift) dan kapasiti mengangkat sehingga 65 tan.

“lanya merupakan tambahan kepada kren sedia ada di Northport yang mampu mengendalikan Ultra Large Container Vessels (ULCV).

“Sementara itu, dua lagi unit mempunyai kapasiti jangkauan 18-unit kontena, keupayaan angkat berkembar (twin-lift) dan kapasiti mengangkat sehingga 55 tan.

“Proses pembuatan kren oleh ZPMC ini akan bermula pada Disember 2024, dengan penghantaran ke Northport dijangka akan dibuat pada suku kedua 2026,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Fakhrul Azhar Tajudin berkata, pembelian kren dermaga baharu itu melengkapkan kerja penaiktarafan Dermaga 9 Northport yang sedang berjalan dan dijangka siap menjelang suku pertama 2026.

“Pelaburan strategik ini akan meningkatkan kapasiti pengendalian dan kecekapan operasi kami dengan ketara, di samping mengukuhkan komitmen kami terhadap inovasi teknologi dan keselamatan.

“Kerjasama dengan ZPMC ini adalah sejajar dengan matlamat strategik kami di bawah program ‘Reinventing Northport’ sebagai inisiatif untuk terus meningkatkan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan kami.

“Ini adalah bagi memastikan syarikat kekal relevan dan mampu memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang,” katanya.

Sementara itu, Presiden ZPMC, Zhu Xiaohuai berkata, pihaknya menghargai sokongan padu daripada kumpulan MMC dan Northport, yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kerjasama selama ini.

“Northport adalah salah satu rakan kongsi yang amat kami hargai dan kami berharap dapat terus mengukuhkan kerjasama ini, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan memajukan perdagangan di seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Pada 20 Mei 2024, Northport telah menerima persinggahan kapal MV OOCL Japan, sebuah kapal ULCV dengan kapasiti 21,413 TEU, kapal kontena terbesar pernah berlabuh di fasilitinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya