PETALING JAYA: Northern Solar Holdings Berhad (Northern Solar), pakar tenaga solar menyasarkan untuk mengumpul sejumlah RM42.4 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menerusi langkah penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menurut kenyataan, syarikat merancang untuk menggunakan RM29.2 juta (68.8 peratus) yang dikumpul daripada IPO untuk modal kerja untuk membiayai pengembangkan perniagaan sistem solar fotovoltaik (PV).
“Sebanyak RM3.2 juta (7.4 peratus) akan digunakan untuk menubuhkan pejabat korporat baharu dengan pusat arahan kejuruteraan di Petaling Jaya, Selangor serta membiayai penubuhan pejabat tambahan di Pulau Pinang.
“Ini juga bagi membiayai perluasan pejabat di Johor untuk mengukuhkan kehadiran pasarannya di wilayah selatan dan utara Semenanjung Malaysia.
“Baki hasil IPO pula akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank berjumlah RM5.5 juta (13.0 peratus) dan untuk membiayai anggaran perbelanjaan penyenaraian sebanyak RM4.6 juta (10.8 peratus),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Northern Solar, Lew Shoong Kai berkata, syarikat menjangka keperluan modal kerja akan meningkat, seiring peningkatan permintaan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem PV solar serta perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan peralatannya.
“Peruntukan hasil yang diperoleh daripada Terbitan Awam untuk modal kerja kami akan membolehkan syarikat mengambil pekerja kejuruteraan dan pembangunan perniagaan untuk menyokong pengembangan geografi pejabat wilayah Johor dan Pulau Pinang.
“la juga akan membolehkan kami membeli bahan projek seperti panel PV solar dan penyongsang, yang merupakan komponen utama yang diperlukan untuk projek kami.
“Dengan menggunakan sebahagian daripada hasil daripada Terbitan Awam untuk memenuhi pelbagai keperluan modal kerja, Northern Solar akan berada dalam kedudukan lebih baik untuk tender dan mengembangkan portfolionya dalam segmen EPCC sistem PV solar,” katanya.
Di bawah pelaksanaan langkah penyenaraian itu, IPO syarikat itu melibatkan Terbitan Awam sebanyak 67.3 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 35.6 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 17.0 peratus dan 9.0 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan.
Pada harga IPO 63 sen sesaham, permodalan pasaran Northern Solar diunjurkan kepada RM249.2 juta selepas penyenaraian, berdasarkan modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 395.6 juta saham. – UTUSAN