MVV City tarik pelaburan industri teknologi tinggi - Utusan Malaysia

MVV City tarik pelaburan industri teknologi tinggi

AMINUDDIN Harun diberikan penerangan mengenai pembangunan MVV City pada Majlis Pecah Tanah MVV City di Seremban semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pembangunan projek MVV City di kawasan seluas 963 hektar di sini mula menarik minat pihak pelabur khususnya di dalam zon perindustrian projek berkenaan yang kerjasama strategik awam swasta antara Perbadanan NS dan syarikat Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts).

Menteri Besar yang juga Pengerusi Perbadanan NS, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihak pelabur khususnya dalam kalangan syarikat tempatan telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk terlibat sama dalam projek pembangunan MVV City.

“Saya sudah mendapat taklimat sedikit, apa yang menarik tentang kawasan ini, ia telah mula mendapat sokongan yang sangat baik dari pelabur tempatan, itu yang boleh saya beritahu sekarang.

“Mereka yakin dengan Matrix Concepts dan kawasan ini, walaupun belum dimulakan lagi tetapi pelabur tempatan sudah mula berikan sokongan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah MVV City di sini kelmarin.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim, Pengerusi Kumpulan Matrix Concepts Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin serta Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Mohamad Haslah berkata, pihaknya telah menerima komitmen lebih daripada jumlah yang mencukupi dari pihak industri yang mahu melabur dalam projek MVV City yang mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM15 bilion sepanjang tempoh 12 tahun.

“Kita sudah ada lebih daripada mencukupi untuk komitmen pihak industri, tetapi sudah tentu perlu selektif kerana kita bercakap tentang masa hadapan, bukan industri kecil, seperti kami memulakan kawasan di Sendayan, kami melihat kepada industri teknologi tinggi, kami sudah memperoleh komitmennya,” ujarnya.

Katanya, pembangunan MVV City yang akan dilihat lebih jelas dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lagi akan turut melibatkan penyediaan 404 hektar ruang perindustrian, 70 hektar lot komersial dan lebih daripada 15,000 unit kediaman.

“Matrix Concepts komited untuk memenuhi keperluan masyarakat menerusi pembangunan kediamannya tetapi sudah tentu perlu melihat kepada keperluan dan permintaan pasaran serta memberikan tumpuan kepada pembangunan yang mampan, teknologi hijau dan memenuhi keperluan masa hadapan,” jelasnya.

Diilhamkan sebagai sebuah bandar pintar, MVV City direka untuk menjadi sebuah hab dinamik yang melibatkan inovasi, perusahaan dan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya