MPPM taja 3,000 individu peroleh diploma RPEL - Utusan Malaysia

MPPM taja 3,000 individu peroleh diploma RPEL

Presiden Kebangsaan Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia, Prof. Madya Zam@Ab Razak Zamri (dua dari kanan), menyampaikan Anugerah Khas Felo Kehormat kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Majlis Penganugerahan Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia, di Pusat Dagangan Dunia, kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Pemerkasaan Perniagaan Malaysia (MPPM) bakal menaja kira-kira 3,000 individu untuk menerima diploma dalam program Recognition Of Prior Experiential Learning (RPEL) tahun depan.

Presiden Kebangsaan MPPM, Prof. Madya Zam@Ab Razak Zamri berkata, ia melibatkan perbelanjaan untuk yuran dan proses bernilai kira-kira RM2,500 setiap seorang di Kuala Lumpur Business & TVET Institute (KLTVET) yang berada di bawah pentadbiran MPPM.

“Kami kini berusaha ke arah itu dan sedang melihat bagaimana untuk membantu anggota masyarakat lain di luar sana supaya menerima manfaat daripada program sebegini.

“Syarat-syarat kelayakan untuk menerima tajaan ini akan diumumkan kemudian,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pakar Industri MPPM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), kelmarin.

Menurut beliau, program RPEL mengiktiraf pengetahuan dan kemahiran individu yang memiliki pengalaman kerja dalam industri menerusi penganugerahan sijil diploma, yang seterusnya dapat membantu mereka mengembangkan kerjaya masing-masing.

Jelasnya, KLTVET memberi pengiktirafan kemahiran meliputi hampir 200 bidang kerjaya dalam program RPEL yang berlangsung sekitar satu hingga dua bulan.

Sementara itu, Zam berkata, pengiktirafan Pakar Industri yang diberikan kepada 28 individu pada majlis berkenaan merupakan salah satu inisiatif utama MPPM untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah mencapai tahap kepakaran tinggi dalam bidang industri masing-masing.

“Proses pencalonan bagi setiap pakar industri dipilih berdasarkan profil mereka melalui penilaian teliti dari segi kredibiliti, integriti, dan profesionalisme oleh Jawatankuasa Penilaian Pakar Industri MPPM.

“Penganugerahan ini adalah simbol pengiktirafan terhadap dedikasi mereka yang tidak mengenal lelah, serta usaha mereka untuk mewujudkan perubahan yang positif dalam industri.

“Kami berharap ia bukan sahaja menjadi tanda penghargaan, tetapi juga menjadi sumber inspirasi kepada semua untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya