Malaysia diyakini terima manfaat dasar, tarif perdagangan pentadbiran Trump - Utusan Malaysia

Malaysia diyakini terima manfaat dasar, tarif perdagangan pentadbiran Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia diyakini menerima manfaat daripada pemilihan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) terutama menerusi cadangan dasar dan tarif perdagangannya, menurut CIMB Securities.

Firma penyelidikan itu berkata, agenda Trump berkemungkinan besar menganggu aliran perdagangan global tetapi kedudukan Malaysia sebagai hab perkilangan dan rantaian bekalan menjadikannya sebagai lokasi terbaik untuk mendapat keuntungan daripada lencongan perdagangan serta peningkatan pelaburan asing.

“Malaysia dijangka memanfaatkan tumpuan baharu Trump terhadap tarif dan sekatan perdagangan, khususnya melalui strategi China Plus One.

“Syarikat yang mencari alternatif kepada China akan terus melihat Malaysia sebagai destinasi menarik berikutan infrastrukturnya yang kompetitif dan kos pengeluaran yang lebih rendah,” katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu menunjukkan trend terdahulu dengan mengambil contoh kejayaan negara semasa kali pertama Trump dilantik sebagai presiden.

Semasa perang perdagangan AS-China 2018, Malaysia mencatatkan peningkatan 47.2 peratus dalam pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan, termasuk lonjakan 411 peratus dari China dan kenaikan 738 peratus daripada AS.

“Kenaikan positif dalam gabungan imbangan perdagangan dengan AS dan China, sebanyak +1.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 2017 dan 2023, menekankan nilai tambah di negara itu.

“Di tengah-tengah perang perdagangan AS-China 2.0 yang semakin hampir, syarat perdagangan Malaysia, yang mengukur harga relatif eksport kepada import dijangka bertambah baik, didorong oleh lencongan perdagangan dan pemulihan eksport.

“Malaysia dijangka memanfaatkan peralihan dalam sektor utama seperti elektronik, kimia dan minyak sawit,” katanya.

CIMB Securities berkata, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan.

“Kami menjangkakan KDNK Malaysia berkembang pada 5.0 peratus pada 2025, disokong perbelanjaan domestik yang kukuh dan pemulihan teknologi global yang berterusan,” katanya.

Selain itu, CIMB Securities berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia, pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global, dijangka menyaksikan momentum berterusan apabila jualan semikonduktor global pulih.

“Walaupun dasar Trump boleh meningkatkan inflasi di AS dan menyebabkan ketidakstabilan mata wang pasaran sedang pesat membangun, namun firma penyelidikan itu tetap optimis.

“Walaupun terdapat ketidaktentuan luaran, ekonomi Malaysia yang pelbagai, disokong oleh penggunaan swasta yang kukuh dan aktiviti pelaburan yang teguh, bersedia untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya