MAG perkenal Airbus 330neo, transformasi penerbangan nasional - Utusan Malaysia

MAG perkenal Airbus 330neo, transformasi penerbangan nasional

ANTHONY Loke merasmikan Majlis Pelancaran Pesawat Pertama A330neo di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines (MAB) Sepang Selangor. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia Aviation Group (MAG) memperkenalkan debut pertama pesawat badan lebar Airbus 330neo, sekali gus menandakan transformasi baharu dalam aspek permodenan syarikat penerbangan nasional itu.

Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kemunculan pertama itu juga memberi terjemahan kepada transformasi MAG dengan menerapkan era baharu perjalanan udara.

“A330neo ialah pesawat terbaharu yang menyertai armada MAG di mana sebanyak 20 buah akan dihantar sehingga 2028 menerusi Memorandum Persefahaman yang dimaterai bersama Airbus, Rolls-Royce dan Avolon.

“Selain itu, pesawat yang dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce Trent 7000 ini turut menampilkan inovasi aerodinamik, bahan termaju selain memberikan pengurangan sehingga 14 peratus dalam penggunaan bahan api dan pelepasan karbon berbanding generasi sebelumnya,” katanya pada Majlis Pelancaran Pesawat Pertama A330neo yang dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di sini semalam.

Untuk rekod, pesawat terbaharu ini menawarkan sebanyak 297 kerusi meliputi 28 di kelas perniagaan dan 269 di ekonomi.

Sementara itu, Loke berkata, pihaknya berharap supaya MAG dapat meningkatkan prestasi ‘on time performance’ selari dengan pemodenanan armada syarikat penerbangan itu.

“Jangkaan kami untuk MAG ialah dengan pemodenan dan penambahbaikan ini, daripada segi armada ialah perlu meningkatkan prestasi ‘on time performance’.

“Bagaimanapun, saya perlu akui MAG khususnya Malaysia Airlines dan MASwings, prestasi telah meningkat sejak dua bulan lalu terutamanya bagi sektor domestik,” jelasnya.

Pada masa sama, katanya, pemilikan pesawat baharu itu bukan sahaja melibatkan pemodenan armada, tetapi menjadi asas kepada Malaysia Airlines dalam meneroko pasaran penerbangan mampan.

“A330neo mewakili perkongsian penting antara Malaysia dan Airbus, kerjasama yang telah berkembang sejak dekad lalu.

“Malaysia kini merupakan pembekal terbesar komponen kepada Airbus di Asia Tenggara, dengan bahagian dibuat di sini termasuk sarung kipas enjin, avionik dan komponen sayap logam yang dipaparkan pada pesawat Airbus di seluruh dunia,” katanya.

Jelasnya, pencapaian itu menjadi bukti keupayaan anak tempatan dalam sektor aeroangkasa yang mana telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya