PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, yang diuruskan oleh Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (SATSSB), melaksanakan Latihan Kecemasan Berskala Penuh sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya untuk mengekalkan tahap keselamatan dan kesediaan tertinggi.
Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang kerana latihan ini hanyalah simulasi yang bertujuan menilai dan mempertingkatkan keberkesanan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP).
Simulasi ini melibatkan sebuah pesawat yang mengalami masalah teknikal hingga menyebabkan ia terkeluar dari landasan dengan impak yang tinggi, terhempas semasa pendaratan, mengalami kebakaran dan akhirnya berhenti di tepi apron kargo.
Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd., Kennedy Ayu menekankan kepentingan latihan sedemikian sebagai pintu masuk utama ke Wilayah Selatan bagi perjalanan udara, latihan kecemasan berskala penuh seperti ini adalah amat penting.
Jelasnya, ia membantu menguji keupayaan menguruskan kecemasan dalam keadaan sebenar dengan penglibatan pihak-pihak berkepentingan utama seperti perkhidmatan kecemasan, responden perubatan, pihak berkuasa kawal selia dan agensi-agensi lain.
“Fokus simulasi ini adalah untuk memperkukuh 3C, Komunikasi, Koordinasi, dan Kawalan (Communication, Coordination and Control)yang menjadi tonggak utama dalam memberikan tindak balas kecemasan yang berkesan.
“Menerusi latihan ini, kami dapat mengenal pasti kelemahan, menangani kekurangan dan meningkatkan kerjasama serta prosedur demi memastikan kami sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang situasi.
“Matlamat utama kami adalah untuk memberikan hasil terbaik bagi seluruh komuniti di lapangan terbang,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, AEP merupakan pelan kontingensi komprehensif untuk memastikan semua pihak berkepentingan yang terlibat dapat mengambil tindakan pantas sekiranya berlaku kecemasan sebenar.
“Latihan ini telah diwajibkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan mematuhi Manual Bahagian 7 oleh Perkhidmatan Lapangan Terbang Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya.
Semasa simulasi tersebut, sebuah pesawat buatan telah disediakan berdasarkan pesawat biasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dengan 100 penumpang di dalamnya.
“Tanda panggilan kecemasan dari pesawat tersebut adalah ‘crash on-airport’,” katanya.
Lebih 200 peserta mengambil bahagian dalam latihan kecemasan berskala penuh
yang melibatkan kakitangan lapangan terbang, keselamatan, perkhidmatan memadam kebakaran, serta kakitangan syarikat penerbangan.
Latihan ini merupakan peluang terbaik untuk melatih keupayaan mereka dalam bertindak balas terhadap situasi kecemasan.
Pemadaman Kebakaran Pesawat adalah satu disiplin khusus yang melibatkan peralatan dan latihan unik yang direka untuk menangani tumpahan bahan api pesawat dan kebakaran secara khusus. – UTUSAN