PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), bertujuan menyediakan panduan komprehensif untuk perbelanjaan bulanan serta mengemas kini tahap simpanan yang disyorkan daripada penanda aras simpanan satu tahap kepada kerangka simpanan tiga tahap.
Inisiatif ini dibangunkan untuk menggalakkan keselamatan kewangan dan memastikan masa depan persaraan yang sejahtera bagi semua rakyat Malaysia.
Bakal dilancarkan pada Januari 2026, Rangka Kerja RIA membolehkan ahli menetapkan sasaran simpanan mengikut gaya hidup dan aspirasi persaraan berbeza.
Pendekatan ini menekankan kepentingan melihat simpanan KWSP sebagai sumber pendapatan berterusan, membantu ahli memahami simpanan yang mereka perlukan untuk menyara diri di usia persaraan.
Menurut KWSP, Rangka Kerja RIA dengan tiga tahap baharu iaitu Simpanan Asas, Simpanan Mencukupi dan Simpanan Dipertingkat menumpukan kepada konsep simpanan dan jaminan pendapatan persaraan.
“Berdasarkan Belanjawanku 2024/2025, seorang warga emas tiada pasangan memerlukan kira-kira RM2,690 sebulan (Pendapatan Persaraan Mencukupi) untuk mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara.
“Sebagai gambaran, tahap simpanan yang berbeza akan diterjemahkan seperti berikut pada Umur Persaraan.
“Simpanan Asas (RM390,000) akan menyokong pengeluaran bulanan sebanyak RM1,625 di tahun satu, meningkat kepada RM4,434 menjelang tahun 20 manakala Simpanan Mencukupi (RM650,000) membolehkan pengeluaran bulanan bermula pada RM2,708 di tahun satu, meningkat kepada RM7,389 menjelang tahun 20.
“Sementara itu, Simpanan Dipertingkat (RM1.3 juta) pula menyediakan pengeluaran bulanan sebanyak RM5,417 di tahun satu, meningkat kepada RM14,779 menjelang tahun 20 untuk persaraan yang lebih selesa,” katanya.
Tahap simpanan RIA akan disemak setiap tiga tahun bermula pada 2029 menggunakan data terkini daripada hasil kajian Belanjawanku agar terus relevan dengan peningkatan kos.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelancaran panduan Belanjawanku 2024/2025 dan RIA adalah asas kepada tujuan KWSP dalam membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia.
Katanya, panduan ini membantu rakyat Malaysia menghadapi cabaran dalam menguruskan perbelanjaan isi rumah, sementara KWSP menyediakan landasan untuk membina simpanan persaraan yang mencukupi.
“Dengan menyediakan gambaran komprehensif mengenai perbelanjaan bulanan dan memperkenalkan penanda aras simpanan yang baharu, kami berhasrat untuk membimbing ahli mencapai persaraan yang bermakna.
“Inisiatif ini menunjukkan komitmen utuh KWSP untuk menyesuaikan organisasi dengan realiti sosioekonomi yang berubah-ubah dan kekal relevan pada objektif di samping memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam merancang masa depan yang sejahtera,” katanya.
Panduan Belanjawanku 2024/2025 boleh dimuat turun secara percuma dari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Aplikasi Belanjawanku juga boleh dimuat turun secara percuma di Apple App Store, Google Play, dan Huawei App Gallery. – UTUSAN