PETALING JAYA: Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) menerima pembiayaan projek bernilai AS$3.5 bilion (RM15.56 bilion) daripada agensi kredit eksport (ECAs) utama dari Amerika Utara, Eropah Barat dan Selatan serta Asia, di samping pembiayaan Islam daripada entiti Bank Pembangunan Islam.
Modal yang diperoleh akan digunakan untuk melaksanakan projek pembinaan kemudahan petrokimia generasi terkini bernilai AS$5.3 bilion (RM23.57 bilion).
Ia direka untuk menghasilkan 2.6 juta tan metrik setahun (mmtpa) produk aromatik dan 3.0 mmtpa produk tenaga berkaitan. Pembinaan akan bermula pada pertengahan 2025 dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada suku keempat 2028.
Ketua Pegawai Eksekutif PEC, Alwyn Bowden berkata, pihaknya telah memperoleh pusingan pembiayaan projek yang signifikan daripada lima agensi kredit eksport global utama dan entiti Bank Pembangunan Islam.
“Ini yang akan mengukuhkan lagi kestabilan kewangan PEC dan mempercepatkan kemajuan projek ini yang sudah berada di peringkat perancangan dan kejuruteraan yang baik.
“Kami berterima kasih atas keyakinan yang ditunjukkan oleh rakan kongsi terhadap projek ini, dan perbincangan yang diadakan hari ini akan membolehkan kami menyempurnakan pembiayaan hutang untuk projek ini dalam beberapa bulan akan datang.
“Ia sekali gus dapat memulakan pembinaan projek penanda aras global ini menjelang pertengahan tahun depan.
“Dengan industri petrokimia yang dijangka berkembang pesat selaras dengan pembangunan ekonomi di Asia Timur dan Asia Tenggara, projek PEC berada dalam kedudukan strategik menjadi pemacu utama permintaan aromatik berkualiti dalam jangka sederhana hingga panjang.
“PEC terletak strategik untuk memenuhi keperluan pasaran Asia serantau dan permintaan yang diramalkan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah EXIM Bank Malaysia, Raymond Fam berkata, EXIM Bank Malaysia berbangga memainkan peranan penting dalam pembiayaan kemudahan baharu Kompleks Tenaga Pengerang.
“Ia merupakan sebuah projek ikonik yang menekankan komitmen Malaysia untuk memajukan inovasi industri rendah karbon.
“Inisiatif ini sejajar dengan komitmen kemampanan kami dan memainkan peranan penting dalam menunjukkan bagaimana kerjasama global boleh mendorong perubahan transformasi dalam sektor berpotensi tinggi seperti petrokimia.
“Bersama rakan antarabangsa, kami sedang merealisasikan sebuah kemudahan bertaraf dunia yang bukan sahaja meningkatkan daya tahan ekonomi Malaysia, tetapi juga menetapkan penanda aras untuk amalan industri mampan di rantau ini,” katanya. – UTUSAN