KUANTAN: Syarikat hartanah, KMDI Harta Berhad menyasarkan pengumpulan dana sehingga RM200 juta melalui penerbitan saham keutamaan boleh tebus umum dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan, penerbitan saham keutamaan tersebut diyakini dapat mencapai sasaran sebelum suku ketiga 2025.
“Pada masa ini, KMDI Harta adalah sebuah syarikat yang terlibat dengan pembinaan dan pembangunan hartanah serta pembangunan infrastruktur berimpak tinggi.
“Selaras dengan kelulusan pindaan perlembagaan syarikat KMDI Harta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membolehkan syarikat menawarkan saham keutamaan kepada yang berminat.
“KMDI Harta juga telah mendepositkan Memorandum Maklumat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengikut pematuhan Seksyen 229 dan 230 Akta Pemasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang membenarkan KMDI Harta menawarkan saham keutamaan boleh tebus kepada pelabur yang layak bagi memperluas modal sedia ada serta merancang pelaburan strategik dalam merangka pertumbuhan dan pembangunan perniagaan.
“Memorandum Maklumat yang dikeluarkan oleh KMDI Harta bertujuan memberikan penerangan serta informasi tentang pelaburan, strategi pelaburan terkini, serta potensi pulangan yang menarik kepada individu atau korporat yang berminat untuk bersama dengan KMDI Harta dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah.
“KMDI akan mematuhi segala tatakelola yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sukuriti Malaysia,” kata kenyataan syarikat itu.
Menurut KMDI Harta, syarikat itu yakin bidang pembinaan dan pembangunan hartanah adalah sebuah perniagaan yang mampu memberikan pulangan tanpa risiko kepada pelabur untuk menikmati hasil pelaburan yang dilakukan.
Jelas syarikat tersebut, buat masa sekarang nilai pembangunan kasar (GDV) projek KMDI Harta adalah berjumlah RM400 juta.
“KMDI menggunakan khidmat CL Finance Advisor sebagai penasihat korporat kewangan bagi memastikan perjalanan pelaburan yang sistematik dan dinamik. KMDI Harta optimis untuk bersama-sama membuka dan mencari peluang untuk dikongsikan bersama individu atau korporat yang berminat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah,” kata KMDI Harta.
Pengarah Komunikasi Korporat Kumpulan KMDI, Ahmad Mazhar Abdul Aziz berkata, KMDI Harta berazam untuk penyenaraian di Bursa Malaysia menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) dan sukuk dalam masa terdekat. – UTUSAN