Kenaikan tarif elektrik bantu TNB tingkat infrastruktur tenaga - Utusan Malaysia

Kenaikan tarif elektrik bantu TNB tingkat infrastruktur tenaga

Arang batu dan gas merupakan dua bahan api utama dalam penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia dengan kira-kira 41 peratus loji kuasa dijanakan oleh arang batu manakala lebih 47 peratus menggunakan gas asli. - GAMBAR/TNB NEWSROOM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan tambahan sekiranya cadangan kenaikan tarif elektrik dimuktamadkan dapat membantu Tenaga Nasional Bhd. (TNB) untuk meningkatkan infrastruktur tenaga seterusnya memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil dan berterusan kepada pengguna.

Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, tarif elektrik yang lebih tinggi boleh mendorong pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui, menyokong peralihan kepada tenaga yang lebih bersih dan lestari.

“Pelaksanaan mekanisme seperti Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) dalam penetapan tarif elektrik memberikan insentif untuk menambah baik kecekapan TNB dan meningkatkan ketelusan kepada pengguna.

“Walaupun terdapat kesan positif, adalah penting untuk memastikan kenaikan tarif dilaksanakan secara berperingkat dan disertai dengan langkah sokongan kepada golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan beban kos sara hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sebarang kenaikan tarif elektrik juga mendorong pengguna untuk lebih berjimat dalam penggunaan tenaga, seterusnya menggalakkan amalan kecekapan tenaga dan penggunaan peralatan elektrik yang lebih efisien.

“Secara positifnya, kenaikan tarif elektrik mendorong pengguna untuk lebih berjimat dalam penggunaan tenaga, seterusnya menggalakkan amalan kecekapan tenaga dan penggunaan peralatan elektrik yang lebih efisien.

“Tarif elektrik yang lebih mencerminkan kos sebenar menjurus kepada beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan dapat dikurangkan dan ini membolehkan peruntukan kewangan disalurkan kepada sektor lain seperti pendidikan, kesihatan, dan pembangunan infrastruktur,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, kenaikan itu berkemungkinan akan memberi peluang kepada isi rumah dan peniaga untuk bersedia dalam masa enam bulan ini untuk merancang penggunaan elektrik yang lebih efisien dan juga beralih kepada tenaga alternatif seperti solar supaya tidak terbeban disebabkan kenaikan tarif elektrik ini.

“Pengguna boleh merancang daripada sekarang bagaimana untuk menjimatkan penggunaan elektrik seperti menggunakan perkakasan elektrik yang lebih efisien dan juga mengamalkan penggunaan elektrik yang lebih berhemah.

“Untuk jangka masa panjang mungkin boleh buat perancangan untuk beralih kepada penggunaan tenaga solar kerana kerajaan masih lagi beri insentif sebanyak RM4,000 bagi pemasangan solar panel di rumah sehingga tahun hadapan,” katanya.

Menurut TNB kepada bursa semalam, tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia dicadang untuk dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.

Perubahan ini akan berlaku dibawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Di bawah RP3 2022-2024, tarif asas ditetapkan pada 39.95 sen/kWh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya