K-Tech Patch sasar 8 juta pengguna global menjelang 2026 - Utusan Malaysia

K-Tech Patch sasar 8 juta pengguna global menjelang 2026

ERIC Chiwe (tiga dari kiri) bersama pengurusan tertinggi Qiang Long Sdn. Bhd. semasa majlis pelancaran produk terbaharu mereka, K-Tech Patch di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Qiang Long Sdn. Bhd., pengeluar teknologi berinovasi tempatan melancarkan teknologi jimat minyak terbaharu, K-Tech Patch dengan sasaran dua juta pengguna tempatan dan lapan juta pengguna global menjelang 2026.

Teknologi ini secara tidak langsung memperkukuh peranan Malaysia bagi menerajui kejuruteraan automotif serta impian untuk merealisasikan teknologi cekap tenaga.

Presidennya, Eric Chiwe berkata, selari dengan usaha agresif untuk pengkomersialan di peringkat global, pihaknya mempunyai rancangan untuk menembusi pasaran udara tercemar di Bangladesh, India, China dan Asia Tenggara menjelang tahun 2025-2026.

“Kami menjangkakan seramai sejuta pengguna tempatan dan lima juta pengguna global pada 2025 seterusnya akan berkembang pesat pada 2026.

“Sasaran ini selari dengan permintaan pasaran dunia yang kian meningkat terhadap produk teknologi hijau yang dapat memberikan manfaat terus kepada pengguna dan alam sekitar, sekali gus bertepatan dengan misi memberi peluang kepada pemandu untuk memilih masa depan yang lestari,” katanya dalam kenyataan.

Qiang Long bertindak menawarkan penyelesaian automotif yang mesra alam berikutan tanggungjawab alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kekal menjadi penanda penting dalam landskap pasaran global.

Teknologi K-Tech Patch yang dihasilkan melalui penyelidikan lebih sedekad berjaya merumuskan teknologi cekap minyak yang menawarkan manfaat kepada alam sekitar dan penjimatan untuk pengguna.

Berjaya mengurangkan kadar pelepasan karbon sehingga 40 peratus dan mengurangkan penggunaan minyak sebanyak 15 peratus, teknologi ini mampu meningkatkan kecekapan enjin kenderaan, menurunkan kos serta memberikan manfaat jangka panjang kepada alam sekitar.

Hal ini bertepatan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), selain memberikan nilai ekonomi dan menjadikan jenama tempatan ini unggul dalam sektor teknologi automotif pada peringkat antarabangsa .

K-Tech Patch telah berjaya mendapatkan pensijilan kualiti daripada institut-institut berprestij dunia dalam bidang kejuruteraan dan automotif.

Teknologi ini telah mendapat pengiktirafan daripada Kesatuan Jaminan Teknikal Eropah (TÜV NORD), SIRIM serta Agensi Nuklear Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Pentauliahan ini memberi jaminan kualiti, keselamatan dan keberkesanan dalam sektor automotif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya