Google dijangka labur RM5 bilion bina pusat data kedua di Elmina - Utusan Malaysia

Google dijangka labur RM5 bilion bina pusat data kedua di Elmina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Google dijangka melabur antara RM4 bilion hingga RM5 bilion untuk pembinaan Fasa 2 pusat data (DC) di Elmina Business Park (EBP).

Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen berkata, anggaran pelaburan itu berdasarkan kapasiti yang mungkin mencecah sekitar 200 hingga 250 megawatt (MW), mengikut saiz tanah dan jumlah nilai sewaan.

“Di samping pelaburan RM1.5 bilion hingga RM2 bilion untuk Fasa 1 (daripada kira-kira 100 MW), Google melaburkan sejumlah RM5.5 bilion hingga RM7 bilion dalam EBP.

“ Ini mendorong keyakinan untuk prospek pertumbuhan EBP, dan patut menarik lebih ramai syarikat pembuatan untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran mereka di kawasan ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kok Wen berkata, setakat ini, EBP menerima minat yang menggalakkan daripada banyak industri sampingan dalam rantai bekalan DC seperti pembuatan menara penyejuk.

“Kami menjangka EBP dan perbandaran Elmina akan terus menjadi penyumbang jualan hartanah yang besar (ketika ini merangkumi 20 hingga 25 peratus jualan hartanah tahunan Sime Darby Property Bhd.) pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sime Darby Property mengumumkan perjanjian bina dan sewa baharu yang ditandatangani dengan Pearl Computing Malaysia (Google) untuk sebuah lagi kemudahan DC yang akan dimajukan di tapak seluas 77 ekar di EBP.

Kemudahan kedua ini terletak berhampiran dengan DC Google yang pertama, yang sedang dibina dan disasarkan siap pada awal 2026.

Apabila DC Google kedua ini siap pada tahun kewangan 2027, pajakan selama 20 tahun dengan nilai sehingga RM5.6 bilion akan bermula, dan turut membabitkan pilihan membaharui tempoh pajakan selama dua penggal tambahan dengan lima tahun setiap penggal.

Ujarnya, dengan mengetepikan kenaikan kadar sewaan, berdasarkan pengiraan purata ringkas, kedua-dua Fasa 1 dan 2 dapat menjana pendapatan sewa sebanyak RM380 juta setahun, dan menyumbang sekitar RM170 juta hingga RM180 juta kepada jumlah untung bersih Sime Darby Property.

“Angka ini melebihi 30 peratus daripada ramalan perolehan kami untuk tahun kewangan 2024, seterusnya menunjukkan perolehan Sime Darby Property mulai tahun kewangan 2027 mungkin akan mengalami peningkatan mendadak apabila kedua-dua DC mula mencatat sumbangan pada waktu yang sama,” katanya.

Tambah Kok Wen, pihaknya optimis akan pelaburan kedua Google untuk DC di EBP, dengan nilai dan kapasiti lebih besar daripada pelaburan pusat data pertamanya.

“Profil pertumbuhan perolehan Sime Darby Property akan berubah mulai 2026 hingga 2027, dan perjalanan syarikat ini pada masa akan datang tampak menarik.

“ Ini kerana kami menjangkakan adanya kemungkinan untuk sebuah dana DC ditubuhkan, dan penyenaraian syarikat amanah pelaburan hartanah (REIT) sedang dalam perancangan.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan yang Sime Darby Property akan mengambil alih beberapa hartanah perindustrian bagi mengembangkan portfolio asetnya dengan lebih cepat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya