GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham - Utusan Malaysia

GDA kekal mahu ambil alih MAHB pada harga RM11 sesaham

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gateway Development Alliance Sdn. Bhd. (GDA), konsortium yang bercadang menswastakan Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) tetap mengekalkan harga tawaran sebanyak RM11 sesaham walaupun selepas mengambil maklum mengenai penolakan daripada pengarah bebas syarikat itu.

Dalam satu kenyataan, konsortium yang terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), UEM Group Bhd. yang disokong Khazanah Nasional Bhd., Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Global Infrastructure Partners (GIP) itu berkata, prospek yang dibentangkan oleh pengarah bebas adalah optimistik namun tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa pelaburan modal tambahan yang ketara dan pengetahuan teknikal.

“Prestasi lemah MAHB yang berpanjangan dari segi operasi dan kewangan menunjukkan pelaksanaan rancangannya akan kekal sebagai cabaran. MAHB tidak mempunyai rekod prestasi yang boleh dipercayai dalam penyampaian janjinya.

“Sebagai contoh, MAHB telah menyatakan dalam Laporan Tahunannya bahawa ia sedang mengusahakan penggantian Aerotrain sejak 2017 selepas beberapa kegagalan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, kontrak untuk projek itu hanya diberikan pada Disember 2021 dan perkhidmatan telah digantung sepenuhnya sejak Mac 2023 sekali gus mengakibatkan kelewatan yang berterusan,” demikian menurut kenyataan.

Selain itu, konsortium berkata, kurang pelaburan yang berpanjangan telah mengakibatkan asas aset yang semakin tua yang membawa kepada kegagalan operasi berprofil tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Lapangan terbang MAHB memerlukan perbelanjaan pemulihan yang ketara serta modal baharu untuk membiayai pengembangan yang amat diperlukan.

“Seperti yang digariskan dalam Dokumen Tawaran, Konsortium komited untuk meletakkan MAHB untuk pertumbuhan mampan jangka panjang dengan memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik ketersambungan syarikat penerbangan,” katanya.

Dari perspektif penilaian, konsortium itu juga mempersoalkan bagaimana rakan setaranya di Asia Pasifik menyaksikan 18 kali pertumbuhan permodalan pasaran MAHB pada 2013-2023; serta hasil dividen MAHB sebanyak satu peratus berbanding purata rakan sebaya Asia Pasifiknya sebanyak tiga peratus.

“Kepentingan MAHB sebagai aset strategik Malaysia dicerminkan oleh peningkatan dalam gabungan pemilikan dalam syarikat oleh UEM Group (anak syarikat milik penuh Khazanah) dan KWSP daripada 41.1 peratus sekarang kepada sasaran 70 peratus, sementara kerajaan meneruskan untuk mengekalkan pegangan sahamnya.

“Konsortium berharap dapat bekerjasama rapat dengan bakal bakat di MAHB dan komited untuk memulihkan kelebihan daya saingnya dengan memastikan bakat diberi ganjaran sewajarnya sejajar dengan sumbangan dan pencapaian mereka.

“Dengan gabungan sumber, kawalan lembaga pengarah dan tanpa kekangan penyenaraian pasaran awam, konsortium akan dapat mempercepatkan pelaburan modal yang diperlukan dan menyediakan kepakaran teknikal yang diperlukan untuk merealisasikan potensi MAHB, untuk manfaat semua pihak berkepentingan,” tambahnya.

Tawaran sebanyak RM11 oleh GDA adalah 5.77 peratus lebih tinggi daripada harga dagangan terakhir saham itu sebanyak RM10.40 sebelum pengumuman penswastaan pada ​​15 Mei lalu.

Tawaran itu menyaksikan GDA membelanjakan lebih RM12.3 bilion untuk saham MAHB yang tidak dipegang oleh pihak penawaran sebelum pengumuman cadangan, dan menilai MAHB pada RM18.35 bilion; pada nisbah harga-ke-pendapatan 12.5 kali ketinggalan atau 2.25 kali nisbah harga-ke-buku.

Terdahulu, penasihat bebas Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengesyorkan pemegang saham menerima tawaran itu, menyifatkannya sebagai munasabah disebabkan oleh harga saham MAHB yang ditindas berpanjangan, walaupun tawaran itu berada di bawah penilaian saksama bebasnya iaitu antara RM12.61 dan RM13.71 sesaham.

Respon kepada saranan itu, kelima-lima pengarah bebas MAHB dalam pekeliling berkata bahawa tiada alasan yang kukuh untuk pemegang saham menerima tawaran itu, yang menurut mereka tidak menggambarkan potensi penuh MAHB, dengan mengambil kira momentum kewangannya yang positif, strategi pertumbuhan dan potensi pertambahan nilai jika ia kekal didagangkan secara terbuka.

Konsortium juga mengingatkan pemegang saham MAHB bahawa tarikh tutup pertama tawaran ialah pada 8 Januari 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya