Forum Nikkei ke Medini 2025 dijangka tarik 500 pelabur, tokoh Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Forum Nikkei ke Medini 2025 dijangka tarik 500 pelabur, tokoh Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) menganjurkan Forum Nikkei ke Medini Johor 2025 bersama Nikkei Inc., satu organisasi media terkemuka Jepun yang dijangka menarik 500 bakal pelabur dan tokoh-tokoh penting dari Jepun dan Asia Tenggara. 

Program yang berlansung pada Jun 2025 itu akan menghimpunkan pelabur, pemimpin pemikiran dan pakar industri untuk membincangkan isu-isu kritikal dalam ekonomi digital, teknologi, inovasi, kemampanan dan masa depan pasaran Asia.

IIB berkata, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani di Tokyo di antara Nikkei Inc, Nikkei Business Publication (Nikkei BP) dan IIB yang memeterai usaha sama mereka dalam membawa Forum Nikkei ke Medini Johor pada 2025.

“Nikkei Forum Medini, Johor 2025 memberikan peluang unik kepada Medini dan Johor untuk mempamerkan potensi pelaburan dinamik kami di pentas global. 

“Seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam Belanjawan Johor 2025 baru-baru ini, forum ini mencerminkan kerjasama kukuh antara negeri Johor, IIB dan Nikkei Inc,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Idzham Mohd. Hashim berkata, tatkala pihaknya terus memacu inovasi dan kemampanan dalam rantau ini, beliau berharap dapat memupuk perkongsian dan kerjasama berharga yang akan membentuk masa depan ekonomi digital di Medini, pintu gerbang ke pasaran Asia. 

“Forum ini akan menjadi penanda aras penting dalam meletakkan Johor sebagai Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions (MICE) terkemuka bagi pelaburan dan pembangunan perniagaan di pasaran Asia.

“Sebagai acara utama Nikkei BP, Nikkei Forum merupakan acara tahunan khas yang menghimpunkan kumpulan terpilih daripada pemimpin perniagaan terkemuka dunia di Tokyo,” katanya.

Forum itu ditubuhkan pada tahun 1999 telah meraih reputasi sebagai salah satu persidangan antarabangsa paling berprestij di Asia.

Jelas beliau, Nikkei Forum Medini, Johor 2025 akan memberi tumpuan kepada trend dan inovasi digital terkini terutamanya dalam bidang transformasi digital, perkhidmatan perniagaan global, pendidikan dan pembangunan bakat. 

“Perbincangan juga akan tertumpu kepada cabaran dan peluang yang muncul disebabkan perkembangan pesat ekonomi digital, menawarkan pemahaman dalam bidang seperti kemampanan, pembangunan bandar pintar dan zon ekonomi khas.

“Ini sejajar dengan inisiatif IIB, terutamanya Medini Innopolis yang dibina berdasarkan tiga tiang teras iaitu Pusat Konvensyen Antarabangsa Medini (MICC), Tech Medini, dan ‘Net-Zero Carbon Central Business District (CBD)’ yang pertama di rantau ini. 

“Melalui inisiatif ini, IIB komited untuk mewujudkan Johor sebagai hab serantau yang berdaya tahan, memupuk ekosistem dinamik yang menggabungkan teknologi, kemampanan dan pembangunan bakat dengan lancar,” katanya. 

Tambahnya, disamping berperanan sebagai platform bagi perkongsian ilmu dan rangkaian, forum ini juga akan menyerlahkan potensi pelaburan Johor yang semakin meningkat dengan tumpuan khusus kepada Iskandar Puteri. 

“Acara ini menawarkan peluang besar kepada pihak berkepentingan untuk berhubung dengan pelabur serantau, wakil-wakil kerajaan dan pemimpin industri dalam menerokai prospek pelaburan di Johor dan Asia Tenggara.

“Forum ini akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk 10 sesi ucaptama daripada penceramah terkenal, pameran melibatkan lebih 20 peserta yang mempamerkan inovasi terkini serta peluang rangkaian yang berkualiti,” katanya. 

Forum ini akan berfungsi sebagai titik strategik bagi pemimpin pemikiran, pembangunan dasar, dan peluang pelaburan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Medini sebagai pintu gerbang utama bagi inovasi, kelestarian dan pertumbuhan ekonomi di Asia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya