PETALING JAYA: Fitch Ratings menaikkan unjuran harga untuk minyak sawit mentah (MSM) Malaysia pada 2025 kepada AS$800 (RM3,576) setiap tan berikutan pemulihan yang perlahan dalam Indonesia dan peningkatan penggunaan biodiesel negara.
Firma penyelidikan itu telah menaikkan unjuran harga MSM kepada AS$800 (RM3,578) setan (t) dan AS$700 setan pada 2025, meningkat daripada anggarannya sebelum ini iaitu AS$750 dan AS$650.
“Ramalan yang dikemas kini ini mencerminkan pemulihan hasil yang lebih perlahan di Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, serta peningkatan penggunaan biodiesel di negara tersebut.
“Walaupun terdapat peningkatan, andaian kami menunjukkan bahawa harga akan melemah mulai 2024, disebabkan oleh peningkatan bekalan dan persaingan dengan minyak soya,” katanya dalam satu nota agensi penafaran kredit global itu.
Menurut nota tersebut, walaupun ramalan harga MSM yang lebih tinggi, Fitch menjangkakan harga akan melemah bermula 2024 disebabkan oleh peningkatan bekalan dan persaingan yang semakin meningkat dari minyak soya.
“Harga CPO melonjak melepasi AS$1,200 (RM4,291.20) setiap tan pada awal Disember 2024, didorong oleh pengeluaran yang lebih rendah dari Indonesia dan Malaysia, di mana hujan lebat menghalang proses penuaian.
“Namun, harga telah mengalami pembetulan, dengan purata tahun-ke-tahun pada AS$925 setiap tan, 10 peratus lebih tinggi berbanding 2023,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Fitch menjangkakan pemulihan dalam pengeluaran CPO pada 2025, didorong oleh berakhirnya keadaan La Nina.
“Keadaan cuaca yang sederhana dijangka meningkatkan hasil buah dengan hujan yang lebih baik, tanpa gangguan akibat banjir,” katanya.
Namun, peningkatan ketersediaan minyak soya dijangka memberi tekanan kepada harga CPO.
Fitch berpendapat bahawa peniaga dan pengeluar minyak makan akan mengurangkan pembelian minyak sawit sebagai ganti minyak soya.
Selain itu, mandat biodiesel B40 yang baru di Indonesia, yang akan meningkatkan percampuran biodiesel berasaskan minyak sawit kepada 40 peratus daripada 35 peratus, dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit global sebanyak 1 peratus hingga 2 peratus pada 2025.
Fitch juga mencatatkan bahawa langkah ini akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun hadapan, disebabkan oleh cabaran teknikal dan kos. – UTUSAN