Fitch Ratings kekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ - Utusan Malaysia

Fitch Ratings kekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+

PENGESAHAN Fitch Ratings mencerminkan keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan dan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fitch Ratings (Fitch) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan ‘stabil,’ dipacu momentum pertumbuhan kukuh dan meluas, kestabilan politik, lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh serta penurunan defisit fiskal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengekalan penarafan kredit berdaulat itu merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Ini khususnya komitmen Kerajaan Madani untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar yang lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan” katanya dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut MoF, Fitch menyatakan kepastian dasar dalam negara telah bertambah baik ekoran kestabilan kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi, termasuk pengukuhan tatakelola entiti milik kerajaan serta perundangan, antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

“Perkara ini selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan bahawa pelaksanaan agenda pembaharuan oleh kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif.

“Ekonomi Malaysia bekembang dengan kukuh pada 5.3 peratus bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik.

“Kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang teguh pada 2024, yang telah disemak semula lebih tinggi dalam lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus, daripada anggaran awal antara empat peratus dan lima peratus,” katanya.

Tambah kenyataan, kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.

“Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi, khususnya RON95.

“Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya