Ekonomi Malaysia kekal pertumbuhan kukuh 5.2% pada tiga suku pertama 2024 - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia kekal pertumbuhan kukuh 5.2% pada tiga suku pertama 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mengekalkan pertumbuhan kukuh pada tiga suku tahun pertama 2024, berkembang 5.2 peratus dari Januari hingga September.

Ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding pertumbuhan 3.8 peratus yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi memberangsangkan ini mencerminkan daya tahan yang berterusan walaupun menghadapi ketidaktentuan global dan dilihat sebagai petanda positif untuk kestabilan ekonomi negara.

“Oleh itu, ekonomi Malaysia berada pada landasan kukuh untuk pembangunan yang berterusan sepanjang tahun 2024,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, jelasnya, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 2.1 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024, sedikit perlahan berbanding 2.3 peratus pada September.

“Pertumbuhan ini dipacu oleh sektor pembuatan (3.3 peratus) dan elektrik (2.5 peratus), manakala sektor perlombongan menyusut 2.8 peratus.

“Dari segi bulanan, IPP meningkat semula dengan pertumbuhan 1.7 peratus. Pada masa yang sama, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan jualan 3.0 peratus tahun ke tahun, mencapai RM161.3 bilion pada Oktober 2024.

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh subsektor Makanan, Minuman & Tembakau, yang melonjak 11.2 peratus. Walau bagaimanapun, jualan bulanan menurun 0.6 peratus berbanding September 2024,” katanya.

Mohd. Uzir berkata, ini menunjukkan prestasi yang bercampur bagi sektor tersebut dalam jangka masa pendek.

“Meskipun demikian, pertumbuhan tahunan mencerminkan kekuatan berterusan dalam bidang utama sektor pembuatan,” katanya.

Melihat kepada sektor perkhidmatan secara keseluruhan, industri Perdagangan Borong & Runcit terus memperlihatkan prestasi yang menggalakkan pada Oktober 2024.

“Jualan mencapai RM150.1 bilion, meningkat 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. Perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan kukuh 7.1 peratus, manakala sektor Borong dan Kenderaan Bermotor turut menyumbang kepada pertumbuhan tersebut.

“Jualan bulanan meningkat 1.3 peratus, memberi isyarat kepada kestabilan yang berterusan. Dari perspektif harga, inflasi di Malaysia menunjukkan sedikit peningkatan pada Oktober 2024,” katanya.

Selain itu, jelas Mohd. Uzir berkata, kadar inflasi meningkat kepada 1.9 peratus, berbanding 1.8 peratus pada September.

Jelasnya, peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan harga dalam penjagaan diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (3.4 peratus) serta Makanan & Minuman (2.3 peratus).

“Beberapa kumpulan utama seperti Restoran & Perkhidmatan Penginapan (2.8 peratus) dan Pengangkutan (0.7 peratus) merekodkan peningkatan yang lebih perlahan, manakala kumpulan lain seperti perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain serta pendidikan kekal tidak berubah,” katanya.

Sementara itu, pasaran buruh Malaysia meneruskan momentum positif dalam pertumbuhan tenaga kerja.

“Tenaga buruh meningkat 1.7 peratus, daripada 16.97 juta pada Oktober 2023 kepada 17.27 juta, mendorong Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) naik kepada 70.5 peratus. Tenaga buruh juga menunjukkan peningkatan, dengan kenaikan 1.9 peratus kepada 16.72 juta.

“Dari segi bulanan, tenaga buruh meningkat sedikit 0.1 peratus, dan penduduk bekerja menokok 0.2 peratus. Kadar pengangguran pula kekal tidak berubah pada 3.2 peratus, seperti pada September 2024,” katanya.

Mohd. Uzir menjelaskan bahawa Indeks Pelopor (IP) Malaysia mencatatkan kenaikan 1.5 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2024, meningkat kepada 111.1 mata berbanding 109.5 mata pada tahun sebelumnya.

“Walau bagaimanapun, indeks mengalami penurunan marginal bulan ke bulan pada 0.4 peratus. Trend jangka panjang menunjukkan IP turun di bawah 100.0 mata, menandakan bahawa ekonomi Malaysia dijangka berkembang dengan sederhana pada awal 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya