PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) keseluruhan berjumlah RM303.5 juta pada tahun kewangan 2024, meningkat 60.3 peratus berbanding tahun lalu.
Ini selepas kumpulan mengambil kira kerugian Eco World International Berhad dan susut nilai RM38 juta pada suku keempat.
EcoWorld turut merekodkan nilai jualan tertinggi berjumlah RM4.07 bilion, iaitu 16 peratus melebihi sasaran jualan terdahulu yang ditetapkan pada RM3.5 bilion.
Menurut kenyataan, hasil dan keuntungan kasar meningkat masing-masing sebanyak 1.4 peratus dan 13.3 peratus dalam tempoh itu berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan margin keuntungan kasar bertambah daripada 24.2 peratus kepada 27.0 peratus.
“Bagi rekod keuntungan operasi di Malaysia telah menyumbang PAT sebanyak RM343.1 juta, yang merupakan pencapaian tertinggi dalam sejarah kumpulan dan tunai bersih daripada aktiviti operasi berjumlah RM890 juta, iaitu 56 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu dan hampir tiga kali ganda PAT kumpulan.
“Selain itu, nisbah gearing kasar dan bersih masing-masing menurun kepada 0.46 kali dan 0.19 kali pada 31 Oktober 2024, berbanding 0.53 kali dan 0.25 kali pada 31 Oktober 2023, manakala baki tunai, termasuk deposit dan dana jangka pendek kekal tinggi pada RM1.36 bilion.
“Sementara itu, hasil masa depan kumpulan kekal sihat pada RM3.96 bilion, menyokong pendapatan dan aliran tunai kumpulan untuk jangka masa dekat dan sederhana,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, jualan mencecah RM4 bilion dan operasi Malaysia mencatatkan PAT RM343.1 juta, kedua-duanya rekod tertinggi kumpulan.
“Pencapaian ini adalah hasil usaha bertahun-tahun untuk mempercepatkan penciptaan nilai di semua pembangunan kami, meningkatkan kuasa harga dan margin keuntungan.
“Ia juga untuk memperluaskan rangkaian produk dan capaian pelanggan melalui lima tonggak pendapatan besar, memenuhi semua segmen pasaran dan mendigitalkan operasi dan memperbaiki proses, menjadikan operasi lebih cekap dan kos overhead terkawal,” katanya.
Menurutnya, projek kumpulan juga berada di kawasan strategik di Lembah Klang, Iskandar Malaysia, dan Pulau Pinang.
“Dalam tahun kewangan 2024, Iskandar Malaysia menyumbang 57 peratus (RM2.33 bilion) daripada jualan, diikuti oleh Lembah Klang (31 peratus, RM1.27 bilion) dan Pulau Pinang (12 peratus, RM470 juta).
“Bagi prestasi mengikut tonggak utama dengan jualan RM1.22 bilion, dengan 82 peratus rumah dijual pada harga melebihi RM650,000,” katanya.
Lembaga pengarah mengumumkan dividen akhir sebanyak dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahun kewangan 2024 sebanyak enam sen sesaham. – UTUSAN