PETALING JAYA: Datasonic Group Berhad (Datasonic) mengumumkan cadangan pelan transformasi untuk muncul sebagai peneraju dalam pasaran identiti fizikal dan digital dengan ekosistem pengurusan identiti berasaskan kecerdasan buatan (Al) dan berpusatkan digital.
Menurut kenyataan, ini akan membolehkannya menyediakan penyelesaian identiti dan keselamatan menyeluruh lengkap dan selamat untuk kerajaan dan perusahaan, selaras inisiatif kerajaan seperti MyDigital ID dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
“Bagi menyokong pelan transformasi yang dicadangkan, Datasonic berhasrat melaksanakan pelaburan strategik yang akan meluaskan kehadiran pasaran, meningkatkan portfolio produk dan perkhidmatan serta memesatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalamannya.
“Ini disokong oleh pelaksanaan untuk mengumpul sehingga RM554.95 juta melalui terbitan bonus sehingga 1.55 bilion waran atas dasar satu waran untuk setiap dua saham yang dipegang oleh pemegang saham,” katanya.
Jelasnya, langkah pertama dalam transformasi kumpulan adalah cadangan pengambilalihan 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Innov8tif Holdings Sdn. Bhd., perintis dalam jaminan identiti digital dipacu Al dan penyelesaian onboarding pelanggan, pada harga RM40 juta.
“Teknologi Innovatif, termasuk e-KYC, pengecaman wajah secara langsung, pengesahan dokumen, dan pengesanan penipuan telah disampaikan merentasi portfolio pelanggan yang luas di negara ASEAN termasuk syarikat tersenarai awam, bank dan biro kredit.
“Hasilnya, pengambilalihan yang dirancang ini akan membekalkan kumpulan dengan akses segera dan penembusan pasaran baharu dalam perbankan, telekomunikasi dan pelaporan kredit.
“la juga membolehkan kumpulan mendapatkan projek baharu yang berkaitan dengan pengesahan identiti bersepadu, keselamatan biometrik dan perkhidmatan onboarding digital untuk perusahaan dan kerajaan,” katanya.
Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Datasonic Group Berhad, Datuk Hanifah Noordin berkata, transformasi kumpulan akan menyelaraskan visi mereka dengan permintaan dunia yang mengutamakan digital (digital-first) yang semakin meningkat.
“Dengan memanfaatkan teknologi generasi akan datang seperti Al, kami menyediakan diri kami untuk memainkan peranan penting dalam inisiatif transformasi digital negara seperti MyDigital ID.
“Ini memastikan kami kekal di barisan hadapan dalam menyampaikan nilai kepada pihak berkepentingan kami dan menyokong aspirasi ekonomi digital Malaysia.
“Transformasi yang dirancang ini akan memanfaatkan rekod operasi cemerlang dan kepelbagaian keupayaan kami yang semakin berkembang untuk meningkatkan prospek pertumbuhan kumpulan dengan ketara dan mewujudkan organisasi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.
“Akhirnya, ia juga akan menyediakan platform untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk pendigitalan di kalangan kerajaan antarabangsa serta penerokaan kumpulan ke sektor komersial, membuka peluang pasaran baharu di Malaysia dan di seluruh dunia,” katanya.-UTUSAN