PETALING JAYA: CBH Engineering Holding Berhad (CBH), penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik, (M&E) menyasarkan untuk mengumul sebanyak RM83.4 juta sempena tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Dengan modal saham diterbitkan yang diperbesar sebanyak 1,880.9 juta saham dan harga IPO 28 sen sesaham, CBH akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM526.7 juta selepas penyenaraian.
Menurut kenyataan, daripada hasil itu, sebahagian besar akan diperuntukkan untuk tujuan pengembangan perniagaan.
“Khususnya, RM38.5 juta (46.2 peratus) akan digunakan untuk pemerolehan peralatan dan komponen bagi projek masa depan, manakala RM17.3 juta (20.7 peratus) akan diperuntukkan untuk jaminan bank bagi projek masa depan.
“Selain itu, RM18.5 juta (22.2 peratus) akan digunakan untuk pembayaran kepada subkontraktor bagi projek masa depan, dan RM3.5 juta (4.1 peratus) diperuntukkan untuk pengambilan jurutera dan kakitangan lain.
“Baki RM5.7 juta (6.8 peratus) akan digunakan untuk menampung kos penyenaraian,” katanyan
Pengarah Urusan CBH, Ir. Cheah Boon Hwa berkata, penyenaraian itu merupakan langkah transformasi yang membolehkan syarikat memperkukuh operasi, mengembangkan pasukan, dan merebut peluang baru dalam industri perkhidmatan kejuruteraan M&E yang berkembang.
“Melangkah ke hadapan, keyakinan CBH didorong oleh buku tempahan belum dibilkan sebanyak RM203.7 juta dan buku tender bernilai RM559.7 juta setakat 25 November 2024.
“Sektor perkhidmatan kejuruteraan M&E terus berkembang pesat, didorong oleh peningkatan pelaburan asing dan domestik yang mengakibatkan peningkatan dalam hartanah komersial dan industri.
“Selain itu, pembangunan jangka panjang industri pengguna utama, terutamanya pusat data di mana CBH mempunyai rekod prestasi yang terbukti, meletakkan Kumpulan dalam kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada dinamik pasaran ini,” katanya.
Jelasnya, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, CBH merancang untuk memperkukuh kemampuan dalaman dengan merekrut lebih ramai profesional berkemahiran tinggi.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga memastikan CBH terus memberikan penyelesaian kejuruteraan yang inovatif dan berkualiti tinggi.
“Pada masa yang sama, CBH memberi tumpuan untuk memperkukuh sumber kewangan bagi menyokong modal kerja yang diperlukan untuk projek kejuruteraan M&E yang lebih besar dan kompleks.
“Ini akan membolehkan CBH mengukuhkan reputasinya sebagai penyedia perkhidmatan yang dipercayai dan terkemuka dalam sektor kejuruteraan M&E,” katanya.
Berikutan pelancaran prospektus, permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 2 Januari 2025 pukul 5 petang.
CBH akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 16 Januari 2025. – UTUSAN