Bitcoin berpotensi cecah AS$110,000 awal Januari 2025 - Utusan Malaysia

Bitcoin berpotensi cecah AS$110,000 awal Januari 2025

FOTO yang diambil pada 17 Jun 2014 ini memperlihatkan mata wang digital Bitcoin. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Para penganalisis kekal optimis terhadap nilai Bitcoin dengan mata wang kripto itu berpotensi melebihi AS$110,000 (kira-kira RM491,016.28) tahun depan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Macro Investor, Raoul Pal telah menyiarkan carta di X yang menunjukkan bahawa Bitcoin boleh membentuk paras tertinggi sementara melebihi AS$110,000 (kira-kira RM491,016.28) menjelang Januari 2025.

Bitcoin kini berada di kedudukan ketujuh sebagai aset termahal dunia berdasarkan nilai pasaran, melebihi syarikat-syarikat seperti Saudi Aramco dan Facebook.

Wang kripto itu mencatatkan harga pada AS$96,416 (kira-kira RM430,380.23) dengan modal pasaran sebanyak sebanyak AS$1.908 trilion (kira-kira RM 8.52 trilion), menurut data Companies Market Cap semalam.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil berkata, kedudukan itu membuktikan Bitcoin bukan lagi subjek baharu, malah semakin diterima secara meluas sebagai kelas aset di peringkat global.

Ujarnya, penggunaan Bitcoin semakin meningkat, dengan peningkatan kesedaran tentang aset digital dalam kalangan pengguna.

“Faktor seperti polisi pilihan raya Amerika Syarikat (AS), pengumuman oleh tokoh berpengaruh seperti Elon Musk dan keputusan mahkamah China yang mengiktiraf pemilikan Bitcoin sebagai sah di sisi undang-undang turut menyumbang kepada lonjakan nilainya.

“Setiap empat tahun, Bitcoin melalui proses ‘halving’ iaitu pengurangan separuh dalam pengeluaran blok Bitcoin, di mana ia merupakan penyebab utama kepada kenaikan harga itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, Bitcoin mempunyai jumlah maksimum pengeluaran sebanyak 21 juta unit dan ketika ini jumlah Bitcoin dalam edaran sudah mencapai 19.79 juta, semakin menghampiri had maksimum.

“Apabila pengeluaran mencapai jumlah maksimum, harga Bitcoin akan bergantung sepenuhnya kepada prinsip penawaran dan permintaan.

“Penawaran yang terhad akan menyebabkan nilai Bitcoin meningkat, terutama dengan peningkatan penggunaan yang konsisten.

“Walaupun terdapat turun naik harga dalam jangka masa pendek, trend jangka panjang menunjukkan kenaikan harga yang berterusan, sama seperti sifat emas,” katanya.

Mata wang kripto terbesar di dunia itu telah meningkat lebih daripada 40 peratus sejak 5 November, hari pilihan raya AS yang menyaksikan Donald Trump dipilih semula sebagai presiden.

Walaupun pelantikan Trump hanya akan berlangsung pada 20 Januari 2025, komen pro-kripto beliau telah meningkatkan sentimen pasaran.

Bitcoin mencatat paras tertinggi baharu minggu lepas, dengan harga melepasi AS$99,000 (kira-kira RM442,193.91) buat pertama kali.

Sementara itu, Remisier Maybank Investment Bank, Jeffry Azizi Jaafar berkata, kenaikan harga mata wang Kripto itu adalah disebabkan sokongan Donald Trump terhadap sektor ini.

“Laporan terbaharu menyebut bahawa pentadbiran Trump ada ura-ura ingin mewujudkan jawatan Crypto Czar di White House.

“Jawatan ini dijangka akan bertindak sebagai pembentuk polisi mata wang Kripto di Amerika Syarikat (AS) dan pembentukan jawatan ini dilihat sebagai satu langkah untuk menghalalkan (legitimize) sektor ini.

“Sebelum ini terdapat juga laporan bahawa Trump mungkin mahu membina simpanan strategik Bitcoin. Laporan-laporan ini memberi sentimen positif kepada mata wang Kripto dan membantu kenaikan harganya,” katanya.

Beliau berkata, saham-saham yang terlibat dengan sektor mata wang Kripto telah naik dengan banyak seperti MicroStrategy Incorporated dan Coinbase Global Inc dan boleh memberikan keuntungan kepada pelabur.

“Namun, harga mata wang yang mempunyai volatiliti tinggi (naik dan turun dengan cepat dan mendadak) menyebabkan risiko pelaburan ini menjadi tinggi. Selain itu, terdapat penggunaan tenaga yang tinggi untuk melombong matawang ini (bitcoin mining) dan terdedah kepada kegunaan dalam aktiviti jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya