PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mengumumkan dividen tunai interim satu peringkat 11 sen sesaham biasa, berjumlah RM249.3 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024.
Menurut kenyataan, tarikh kelayakan dividen berkenaan adalah pada 18 Disember 2024, manakala pembayaran akan dibuat pada 10 Januari 2025.
Bank Islam baru-baru ini mengumumkan keuntungan bersih sebanyak RM396.8 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir pada 30 September 2024.
Pencapaian itu didorong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi serta pengurangan dalam elaun bersih untuk rosot nilai pembiayaan.
Jumlah aset kumpulan pula berada pada RM93.8 bilion pada akhir September 2024 susulan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 6.5 peratus, didorong oleh pertumbuhan dalam sekuriti pelaburan dan pembiayaan. – UTUSAN