Auto Bavaria, Affin perluas infrastruktur pengecasan EV - Utusan Malaysia

Auto Bavaria, Affin perluas infrastruktur pengecasan EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Auto Bavaria bersama Kumpulan Affin Bank Berhad (Affin) mengumumkan kerjasama strategik bagi menambah infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) negara.

Kerjasama itu sejajar dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kedua-dua organisasi, yang bertujuan menggalakkan penyelesaian pengangkutan yang lebih bertanggungjawab.

Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan berkata, pihaknya mempercayai bahawa kenderaan elektrik akan menjadi nadi penggerak pengangkutan masa depan.

“Kerjasama ini dengan Affin sesungguhnya memperlihatkan dedikasi kami mengukuhkan pembangunan infrastruktur EV dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon.

“Bersama-sama, kami memperkasakan para pemandu membuat keputusan pengangkutan yang lebih bertanggungjawab dan mengurangkan jejak karbon dalam keperluan pemilikan kenderaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkat, beliau teruja dengan kemudahan pengecasan EV itu, dan menekankan kerjasama jangka panjang dengan Auto Bavaria dan komitmen kumpulan ke arah kelestarian.

Jelasnya, kerjasama kumpulan memaparkan komitmen tidak berbelah bagi AFFIN kepada agenda ESG, yang membawa kesan positif bagi masa depan sambil menyediakan pengalaman menyenangkan dan memuaskan pelanggan.

“Inisiatif ini sejajar dengan tunggak Pelan Strategi AX28, iaitu ‘Perkhidmatan Pelanggan Tiada Tandingan’ dan ‘Perbankan Bertanggungjawab yang Menghasilkan Kesan Bermakna’.

“Memanfaatkan kepakaran kami dalam bidang pembiayaan kenderaan, kami bertekad untuk menjadikan EV lebih mudah dimiliki.

“Pelanggan boleh meneroka rangkaian pembiayaan EV kami, termasuk pilihan pembiayaan yang dirangka untuk memudahkan proses pembelian dan meningkatkan ketermampuan.

“Kami percaya ini akan memudahkan proses pemilikan EV, dan seterusnya memainkan peranan penting dalam peralihan kepada kaedah pergerakan lestari,” katanya.

Kerjasama itu membabitkan pemasangan tujuh unit Pengecas AC dan satu unit Pengecas DC di stesen pengecas EV Menara AFFIN, Tun Razak Exchange, yang merupakan Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia.

Dengan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur mesra alam, kedua-dua organisasi mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan lestari dan kehidupan pintar dalam kalangan rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya