PETALING JAYA: Industri takaful di Malaysia meraih pencapaian besar dengan jumlah aset mencecah RM52.3 bilion pada Jun 2024, kata Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA).
Elmie Aman Najas berkata, pencapaian RM52.3 bilion itu bukan sahaja menandakan kejayaan yang signifikan, tetapi juga membuka jalan untuk sumbangan yang lebih besar kepada kewangan dan struktur sosial Malaysia.
Jelasnya, dalam tempoh 10 tahun lalu, sektor itu telah membayar RM37 bilion dalam tuntutan, mencerminkan peranan penting takaful dalam menyediakan perlindungan kewangan dan memenuhi keperluan kebajikan para peserta.
“Pengendali takaful kini menyumbang sebanyak 32 peratus dalam pasaran insurans dan takaful di Malaysia, dengan memberi sumbangan kira-kira 4.5 peratus kepada KEluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2023,” katanya pada majlis Sidang Kemuncak Pemimpin dan Ejen Takaful (TLAS) 2024.
Selain itu, beliau berkata, produk takaful keluarga muncul sebagai pemacu utama, menyumbang sebanyak 42 peratus daripada premium perniagaan baharu pada 2023.
“Permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian kewangan yang berorientasikan keluarga menunjukkan kemampuan sektor ini untuk memenuhi keperluan pengguna yang berkembang, terutamanya di tengah ketidaktentuan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Bagaimanapun, Elmie menyatakan bahawa cabaran tetap wujud kerana kadar penembusan Takaful di Malaysia hanya berada pada paras 20 peratus dengan hanya dua daripada 10 rakyat Malaysia dilindungi oleh pelan takaful.
“Mencapai sasaran penembusan sebanyak 75 peratus akan memerlukan usaha yang besar, kerjasama, dan inovasi di kalangan semua pihak berkepentingan.
“Salah satu teras strategi untuk mengatasi jurang ini adalah Hijrah27, sebuah inisiatif yang bertujuan mengembangkan jejak antarabangsa Takaful dan meningkatkan aksesibiliti bagi rakyat Malaysia.
“Pelan jangka panjang ini selaras dengan aspirasi Malaysia yang lebih besar untuk ketahanan ekonomi dan inklusiviti kewangan,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan ejen dalam meningkatkan kesedaran dan kepercayaan orang ramai.
“Dengan 117,000 ejen berdaftar di seluruh negara, peranan mereka sangat penting dalam mendidik masyarakat mengenai manfaat takaful dan merapatkan jurang antara penyedia dan peserta.
“Namun, walaupun industri takaful telah membuat kemajuan yang luar biasa, ia perlu tetap tangkas dalam menanggapi tekanan luar seperti perubahan ekonomi dan jangkaan pelanggan yang semakin berubah.
“Kita harus menerima cabaran untuk memimpin dengan keberanian dan inovasi bagi memastikan masa depan industri ini,” katanya. – UTUSAN