PETALING JAYA: Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 [Akta 861] dan Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari 2025.
Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, pelaksanaan ini merupakan tonggak penting dalam usaha merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih mampan tenaga.
Katanya, Akta 861 terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan dan telah pun diwartakan pada 26 November 2024.
“Akta ini akan dilaksanakan di bawah pengawalseliaan ST sebagai agensi penguatkuasaan yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kecekapan dan konservasi tenaga.
“Akta 861 ini terdiri daripada sepuluh bahagian utama yang merangkumi antaranya kewajipan pengguna tenaga dan diperluaskan kepada pengawalseliaan produk menggunakan tenaga (EUP),” katanya dalam kenyataan.
ST berkata, antara perkara utama yang digariskan di dalam akta ini adalah kewajipan pengguna tenaga yang menggunakan tenaga menyamai atau melebihi ambang 21,600 gigajoule (GJ) setahun untuk melantik pengurus tenaga berdaftar, membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan tenaga, menyediakan laporan kecekapan tenaga dan menjalankan audit tenaga.
Tambahnya, terdapat juga keperluan penarafan kecekapan tenaga bagi bangunan yang disenaraikan di dalam Jadual Ketiga Akta, di mana bangunan ini dikehendaki untuk mempamerkan label intensiti tenaga dan memenuhi standard kecekapan tenaga minimum.
“Keperluan pendaftaran ke atas pengilang dan pengimport produk menggunakan tenaga, di mana produk yang berkaitan hendaklah memenuhi standard prestasi tenaga minimum (MEPS), mempamerkan label penarafan kecekapan tenaga dan menggalakkan penggunaan produk cekap tenaga dalam pasaran.
“Keperluan pendaftaran bagi pengurus tenaga dan juruaudit tenaga termasuklah keperluan untuk kelayakan akademik dan profesional tertentu bagi meningkatkan standard profesional dalam pengurusan tenaga dan pendaftaran institusi latihan yang terlibat dalam latihan berkaitan dengan kecekapan tenaga,” jelasnya.
ST berkata, seiring dengan penguatkuasaan Akta 861, Peraturan-Peraturan Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 juga akan berkuat kuasa bagi melengkapkan penguatkuasaan akta ini.
“Susulan daripada penguatkuasaan Akta 861, Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap 2008 di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447] akan dibatalkan melalui Peraturan-Peraturan Pengurusan Tenaga Elektrik dengan Cekap (Pembatalan) 2024.
“Langkah ini adalah bagi memastikan keselarasan dasar dan peraturan tenaga yang lebih moden dan relevan untuk menyokong keperluan masa kini,” jelasnya.
Untuk makluman lanjut berkenaan perkara ini, sila layari laman sesawang ST di www.st.gov.my/eeca. – UTUSAN