Winstar Capital jangka kumpul RM19.79 juta menerusi IPO - Utusan Malaysia

Winstar Capital jangka kumpul RM19.79 juta menerusi IPO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Winstar Capital Berhad (Winstar), pengeluar produk ekstrusi aluminium menjangkakan mengumpul RM19.79 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

Berdasarkan modal saham diterbitkan yang telah diperbesarkan sebanyak 290 juta saham biasa dan harga IPO 35 sesaham, anggaran modal pasaran Winstar adalah RM101.50 juta.

Menurut kenyataan, permohonan bagi penerbitan awam 14.50 juta saham baharu untuk orang awam Malaysia dibuka hari ini, 26 November 2024 jam 10.00 pagi, dan akan ditutup pada Selasa, 3 Disember 2024 jam 5.00 petang.

“IPO Winstar melibatkan tawaran awam sebanyak 73.95 juta saham biasa, termasuk penerbitan baharu 56.55 juta saham baharu dan penjualan 17.40 juta saham sedia ada, yang secara kolektif mewakili 25.50 peratus daripada modal saham diterbitkan yang telah diperbesarkan sebanyak 290 juta saham biasa.

“Daripada 56.55 juta saham baharu, 14.50 juta saham baharu akan tersedia untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.

“Sebanyak 15.95 juta saham baharu pula akan ditawarkan kepada pengarah, pekerja, dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

“Baki 26.10 juta saham baharu akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih. Selain itu, 17.40 juta saham sedia ada juga akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian,” katanya.

Jelasnya, sebanyak 48.25 peratus ataus RM9.55 juta hasil IPO itu sebanyak akan diagihkan untuk pembelian mesin dan peralatan ekstrusi aluminium baharu.

“Sebanyak RM6.24 juta (31.54 peratus) pula untuk keperluan modal kerja, manakala RM4.00 juta (20.21 peratus) untuk perbelanjaan penyenaraian,” katanya.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif Winstar, Vincent Chua Boon Hong berkata, dengan dana yang dijangka itu, kumpulan merancang menggunakan hampir separuh hasil IPO untuk pembelian mesin dan peralatan ekstrusi aluminium baharu yang akan dipasang di kilang baharu di Ijok, Selangor.

“Kami merancang untuk memasang empat barisan ekstrusi aluminium baharu dengan kapasiti gabungan sebanyak 8,580 tan setahun, yang dijangka meningkatkan kapasiti operasi pembuatan Winstar daripada 6,705 tan setahun kepada 15,285 tan setahun.

“Pengembangan ini akan membolehkan kumpulan memasarkan lebih banyak produk aluminium kepada pelbagai pelanggan, termasuk syarikat pembinaan, pemaju hartanah, pengilang produk aluminium, pemborong, dan pemain industri sistem solar fotovoltaik (PV),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya