PETALING JAYA: TH Plantations Berhad melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang memberangsangkan sebanyak RM95.12 juta bagi sembilan bulan pertama berakhir tahun kewangan 30 September 2024, berbanding RM60.95 juta yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Menurut kenyataannya, peningkatan ketara sebanyak 56.06 peratus itu dipacu oleh hasil yang lebih tinggi berikutan peningkatan jumlah jualan serta purata harga direalisasikan yang lebih baik bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit.
Selain itu, TH Plantations memberitahu, penambahbaikan dari segi kecekapan operasi telah menjurus kepada 69 peratus peningkatan untung kasar pada RM180.76 juta daripada RM107.06 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Pengeluaran tandan buah segar (TBS) meningkat sebanyak 10.3 peratus daripada 539,123 tan kepada 594,416 tan, hasil daripada kawasan matang muda serta trend tanaman yang lebih baik, terutamanya dari Semenanjung Malaysia.
“Hasil TBS per hektar juga meningkat sebanyak 11.3 peratus. Margin untung kasar meningkat sebanyak 48.9 peratus daripada 19.99 peratus kepada 29.76 peratus dan margin PBT juga meningkat sebanyak 37.6 peratus daripada 11.38 peratus kepada 15.66 peratus,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, TH Plantations berada di landasan yang betul dalam menzahirkan nilai kepada pemegang sahamnya.
Katanya, PBT bagi tempoh sembilan bulan sudah pun mengatasi PBT setahun lengkap bagi 2023 berjumlah RM85.91 juta.
“Ditambah pula dengan harga MSM yang memberangsangkan menjelang penghujung tahun ini, kami menjangkakan prestasi TH Plantations yang lebih baik bagi tahun kewangan 2024.
“Pelan Strategik 5 Tahun Kumpulan atau inisiatif Al-Falah 22/22 akan terus menjadi tenaga penggerak untuk mencapai keputusan yang lebih baik menerusi kecekapan operasi, amalan agronomi yang ditambah baik, penanaman semul, dan juga usaha mekanisasi yang lebih intensif.
“Inisiatif seperti ini dijangka akan menyumbang ke arah pertumbuhan lestari dan kecemerlangan operasi kumpulan,” ujarnya,
Tambahnya, kumpulan kekal optimistik namun berwaspada berkenaan tinjauan pasaran.
“Dinamik pasaran yang positif termasuk bekalan minyak sawit yang terkawal, tahap stok yang rendah serta perancangan/laporan kemaskini biodiesel bagi 2025 telah menyokong industri ini sejak Oktober 2024.
“Kumpulan menjangkakan trend sebegini akan berterusan sehingga hujung tahun, memberi sumbangan yang positif terhadap prestasi secara keseluruhannya,” jelasnya. – UTUSAN