Untung bersih Wasiyyah Shoppe melonjak 92 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih Wasiyyah Shoppe melonjak 92 peratus

ARIFFIN SABIRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia mencatat keuntungan bersih RM3.05 juta pada tahun kewangan 2023/24 yang berakhir 31 Jun, melonjak 92 peratus, berbanding RM1.59 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi semasa, syarikat yang berkepakaran di dalam penyediaan dan pelaksanaan dokumen hibah, wasiat, pengurusan harta pusaka dan pengurusan harta amanah itu menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

“Pendapatan syarikat telah melonjak 32 peratus daripada RM22.9 juta pada tahun kewangan 2022/23 kepada RM30.5 juta bagi tahun kewangan 2023/24,” katanya dalam satu kenyataan.

Ariffin berkata, faktor utama yang membawa kepada kejayaan mencapai tahap keuntungan membanggakan melalui semangat kerja berpasukan yang mantap dalam kalangan Lembaga Pengarah, Panel Syariah, kakitangan dan daie Wasiyyah Shoppe Berhad di samping strategi digitalisasinya.

“Di samping komitmen terbaik yang dipaparkan semua pihak tersebut, strategi kami melabur di dalam usaha digitalisasi sepanjang tahun kewangan 2022/23 terutamanya pengenalan aplikasi mudah alih akad hibah tanpa kertas pertama di dunia, Usra Hibah Digital Document (UsraHDD), sangat menyumbang kepada peningkatan keuntungan bersih syarikat.

“Urusan akad hibah pelanggan dapat dibuat dengan pantas dan tepat tanpa sebarang kekangan menyebabkan permintaan meningkat dan keuntungan bersih melonjak,” katanya.

Walaupun telah berjaya mencatat kejayaan bagi tahun kewangan lepas, Ariffin menegaskan Wasiyyah Shoppe akan terus mengutamakan pelaburan strategik di dalam segmen pasaran bernilai tinggi dan perbelanjaan pengurusan yang berhemah bagi memastikan syarikat akan terus berada pada asas kewangan yang kukuh.

“Selain itu, strategi pengantarabangsaan dan inovasi berterusan teknologi digitalnya diyakini akan terus memacu pengukuhan kewangan syarikat bagi tahun kewangan mendatang.

“Kami faham sebagai sebuah syarikat amanah yang memegang amanah daripada pelanggan bagi urusan harta dan pusaka mereka, keutamaan kami bukanlah semata-mata untuk mencapai sasaran keuntungan pemegang saham malah lebih besar daripada itu.

“Justeru, kami perlu memastikan apa sahaja strategi yang dilaksanakan mestilah mencapai keseimbangan yang mampu menjaga kepentingan semua pemegang taruh terutamanya pelanggan,” katanya.

Mengulas lanjut, asas pendapatan dan keuntungan bersih yang kukuh ini meletakkan Wasiyyah Shoppe di atas landasan yang betul di dalam usahanya meletakkan diri sebagai pemain global di dalam industri perancangan harta secara syariah dan seterusnya meningkatkan nama Malaysia sebagai hab dunia industri berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya