PETALING JAYA: MISC Bhd mencatatkan untung bersih sebanyak RM338.9 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2024, jatuh 21.3 peratus berbanding RM430.4 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.
Pada suku sama, pendapatan syarikat merosot 11.9 peratus kepada RM2.96 bilion, daripada RM3.36 bilion berikutan hari pendapatan yang lebih rendah daripada kontrak tamat dan kadar sewa yang lebih rendah dalam segmen aset dan penyelesaian gas.
Turut mendorong penurunan adalah pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada penukaran kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO).
Namun, kemerosotan itu dikurangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada projek kejuruteraan berat yang sedang dijalankan.
Bagi tempoh sembilan bulan pula, untung bersih meningkat 9.6 peratus kepada RM1.64 bilion berbanding RM1.496 bilion, tetapi pendapatannya susut 0.6 peratus kepada RM9.93 bilion berbanding RM9.99 bilion.
MISC merekodkan aliran tunai yang dijana daripada aktiviti operasi sebanyak RM2.597 bilion bagi tempoh berakhir 30 September 2024, 39.9 peratus lebih rendah berbanding RM4.317 bilion tempoh sama 2023 berikutan pembayaran yang lebih tinggi yang dibuat kepada kreditor dan kutipan rendah daripada hutang perdagangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC, Zahid Osman berkata, keputusan suku ketiga itu mencerminkan dedikasi dan daya tahan berterusan Kumpulan MISC.
Beliau berbangga dengan komitmen pasukan untuk memastikan kemajuan yang stabil dan pertumbuhan dalam perniagaan teras, walaupun di tengah-tengah kerumitan pasaran.
“Kami komited untuk kekal responsif terhadap dinamik pasaran dan menawarkan penyelesaian nilai bersepadu kepada pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Melangkah ke hadapan, Zahid berkata, tumpuan MISC ialah untuk menyampaikan pertumbuhan dan nilai yang mantap merentas segmen utama dengan mengukuhkan rangka kerja kewangan dan merebut peluang yang membawa nilai yang lebih besar kepada pemegang taruh. – UTUSAN